Selasa, 12 September 2017 | 6:21pm
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali akui bimbang litar rosak. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Razlan bimbang litar rosak kerana jentera F1

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali mengakui agak bimbang dengan kemungkinan kerosakan daripada tekanan 'downforce' yang dijana oleh jentera perlumbaan Formula 1 (F1) musim ini, menjelang perlumbaan Grand Prix Malaysia-Petronas pada 29 September hingga 1 Oktober ini.

Tatkala permukaan litar yang tidak rata disebabkan oleh jentera F1 bukanlah sesuatu yang baharu, beberapa penunggang Moto2 berkongsi kesan yang mereka rasai ketika mengadakan ujian tahun ini, di mana mereka terpaksa bekerja lebih keras terutama di zon membrek.

Dijadual akan menjadi tuan rumah perlumbaan F1 terakhir musim ini, Sepang melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang menyaksikan hampir keseluruhan litar diturap semula.

Hasilnya, permukaan yang lancar itu menyaksikan catatan sepusingan yang lebih pantas ketika perlumbaan F1 tahun lalu.

Dan Razlan sekali lagi menjangkakan catatan yang lebih pentas tahun ini, walaupun agak bimbang dengan situasi itu.

"Jika keadaan lancar, kita pasti akan melihat catatan rekod baharu ketika sesi latihan kelayakan (QP) dan perlumbaan sebenar. Kita melihat catatan yang pantas tahun lalu dan tahun ini pasti akan lebih laju," kata Razlan.

"Bagaimanapun, laporan daripada litar lain mengatakan kelajuan F1 menjejaskan permukaan litar, disebabkan tekanan downforce yang tinggi oleh jentera yang membrek pada saat akhir.

"Memang saya agak bimbang tapi kita lihatlah apa yang akan berlaku nanti."

Perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia (MotoGP) akan diadakan kira-kira sebulan selepas perlumbaan F1, menyebabkan hanya wujud tempoh dan ruang yang singkat sekiranya kerja-kerja pembaikan terpaksa dijalankan.

Sepang adalah antara litar yang menganjurkan kedua-dua perlumbaan F1 dan MotoGP, selain Silverstone, Red Bull Ring, Catalunya dan Circuit of the Americas.

5463 dibaca
Berita Harian X