Isnin, 11 September 2017 | 8:08pm
PELUMBA PETRONAS Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaan di GP San Marino di tempat ketiga. - Foto EPA

Podium tak ubah hasrat Hafizh ke pasukan baharu

KUALA LUMPUR: "Saya tetap akan bersama pasukan baharu."

Demikian kenyataan penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang kekal dengan keputusan untuk berhijrah ke pasukan baharu musim depan.

Meskipun baru meraih podium ketiga bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia di Grand Prix (GP) San Marino semalam, selepas hampir empat tahun mencuba, Hafizh nyata tidak berganjak daripada keputusannya itu.

Justeru, jelas penunggang jolokan 'Pescao' itu, dia akan memberikan yang terbaik pada baki lima perlumbaan selepas ini sebagai hadiah perpisahan untuk pasukan yang banyak membantu membina kariernya itu.

"Seperti pusingan sebelum ini, sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan PETRONAS.

"Kejayaan ini menuntut saya untuk terus berusaha lebih gigih pada perlumbaan seterusnya dan menjadi seorang penunggang lebih baik.

"Sasaran utama selepas ini adalah untuk cuba meraih keputusan paling baik pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC)," katanya yang tidak menolak mensasarkan podium di Sepang.

Selepas hampir empat musim penuh beraksi dalam kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), penunggang 23 tahun itu akhirnya meraih podium tempat ketiga selepas menamatkan perlumbaan di litar basah GP San Marino.

Ia adalah podium pertama buat Hafizh di luar Malaysia selepas sering menghampiri podium sebelum ini.

Dia pernah menduduki tempat ketiga pada 2012 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ketika beraksi menerusi tiket wild card dan kemenangan itu hanya diperoleh selepas kira-kira setahun selepas pelumba yang meraih podium kedua ketika itu, Anthony West gagal ujian doping.

Hafizh mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukannya sekarang kerana berdepan 'masalah dalaman' dengan individu tertentu.

Kedudukannya pada musim depan terjawab selepas Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali mengesahkan pihaknya berminat untuk mendapatkan khidmat penunggang itu bersama pasukan baharu yang akan diwujudkan bagi menghadapi saingan Moto2 musim depan.

2677 dibaca
Berita Harian X