Selasa, 5 September 2017 | 6:47pm
PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin mungkin sertai pasukan Dorna. - Foto Osman Adnan

Moto2: Hafizh Syahrin bakal bersama SIC musim 2018

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mengesahkan Hafizh Syahrin Abdullah berada dalam radar pihaknya untuk beraksi bersama pasukan baharu yang akan diwujudkan bagi menghadapi saingan Moto2 musim depan.

Bagaimanapun tegas Razlan, perkara itu hanya akan menjadi kenyataan jika semua urusan berjalan lancar termasuklah keinginan pelumba negara itu sendiri untuk bersama pasukan baharu.


KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mahu Hafizh Syahrin Abdullah sertai pasukan baharu. - Foto Osman Adnan

"Apa yang boleh saya maklumkan setakat ini ialah kami memang berminat dengan Hafizh Syahrin jika dia menerima tawaran untuk kita ambil sebagai penunggang bagi saingan Moto2 tahun depan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razlan berkata, pihaknya bagaimanapun sudah melakukan persiapan awal dengan mendaftarkan nama Hafizh bersama pasukan baharu kepada Dorna, iaitu pemegang hak penganjuran MotoGP untuk musim depan.

"Kami sudah menghantar namanya ke pihak Dorna. Sekarang kami menunggu keputusan daripada Dorna dan juga Hafizh sendiri.

"Jika tiada halangan, mungkin ia bakal menjadi kenyataan.

"Kami juga terbuka untuk mana-mana syarikat jika berminat menjadi sebahagian daripada penaja pasukan baharu nanti," katanya.

Penjelasan Razlan itu sekali gus menamatkan khabar angin pasukan manakah yang akan disertai Hafizh pada musim depan.

Menerusi laporan Arena Metro hari ini, Hafizh mengesahkan akan berhijrah pada musim depan dalam kategori sama selepas empat musim penuh beraksi bersama PETRONAS Raceline Malaysia.

Pelumba berusia 23 tahun itu mendedahkan masalah dalaman dengan individu tertentu adalah menjadi punca utama kepadanya untuk mengubah angin.

Bagaimanapun Hafizh menegaskan, dia tidak berdepan sebarang masalah dengan PETRONAS, penaja utama yang membina kariernya sejak sekian lama sehingga bergelar pelumba terbaik negara.

SIC setakat ini mempunyai komitmen bersama SIC Racing Team yang beraksi dalam kategori Moto3 bersama dua penunggangnya, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki.

3355 dibaca
Berita Harian X