Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:20pm
PELUMBA basikal negara, Nur Azlia Syafinaz (belakang) bersama rakannya Nurul Suhada Zainal ketika beraksi pada acara akhir individu kejar mengejar 3,000 meter wanita B sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Velodrome Antarabangsa hari ini. Azlia bersama rakannya mendapat pingat emas dengan catatan masa 4.00.688 minit. - Foto BERNAMA

Sukan basikal terus jadi lubuk pingat Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi melepasi sasaran kutipan 15 pingat emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018 apabila kontinjen negara menang empat lagi emas pada hari keenam temasya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 13 emas, 18 perak dan 19 gangsa. 

Antara penyumbang emas Malaysia ialah atlet olahraga Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang menang emas ketiga peribadinya menerusi acara lompat jauh T36 lelaki (cerebral palsy) di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, lewat petang tadi.

Mohamad Ridzuan yang dikenali 'Dik Wan' melakukan lompatan sejauh 5.49 meter bagi menewaskan pencabar terdekat  Izzat Turgunov (5.27m) dari Uzbekistan.

Manakala gandingan pelumba basikal para Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais/jurumudinya Nurul Shuhada Zainal, pula mencatat sejarah tersendiri apabila menang emas kedua mereka menerusi acara 3,000 meter tandem kejar mengejar individu wanita (B) dengan catatan masa 4 minit :00.688 saat. Satu lagi gandingan Malaysia, Nur Syahida Tajudin/Nur Rozi Yanti Mat Rodzi menang gangsa (4:07.730s) dalam acara sama di Velodrom Antarabangsa Jakarta, semalam.

Dua lagi emas Malaysia hari ini disumbangkan menerusi acara trio campuran tenpin boling, dianggotai Zahidi Lamsah/Abu Bakar Nyat/Mohd Azrin Rahim dan atlet renang para, Muhamad Nur Syaiful Zulkifli yang turun beraksi dalam acara gaya bebas 50 meter lelaki sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pingat Malaysia 13 emas, 18 perak dan 18 gangsa.

Trio tenpin boling Malaysia muncul pemenang pingat emas selepas mengumpulkan 2,432 mata untuk menewaskan gandingan Hong Wonju, Kwon Minkyu dan Min Jinho dari Korea Selatan dengan perbezaan 42 mata dalam perlawanan berlangsung di Pusat Boling Jaya Ancol, Jakarta Indonesia, hari ini.

Sementara itu, sukan berbasikal juga turut menyumbang dua perak menerusi trio basikal para kebangsaan Mohd Najib Turano, Zuhairie Ahmad Tazmizi dan Mohamad Yusof Shaharuddin, yang turun beraksi dalam acara pecut berpasukan campuran C1-C5, manakala Mohd Khairul Hazwan Wahab/Mohd Nur Ridzuan Zainal (jurumudi), melalui acara kejar mengejar 3km tandem lelaki B. 

Satu lagi pingat perak disumbangkan atlet olahraga para negara, Wong Kar Gee turun beraksi dalam acara lompat jauh T12 hari ini.

599 dibaca
Berita Harian X