Jumaat, 14 September 2018 | 8:19pm
Atlet Selangor, Mohd Yusoff Nandong ketika beraksi mengangkat bebanan kategori 56kg clean & Jerk pada aksi acara angkat berat Sukma di Dewan Merdeka, hari ini. Beliau memecah rekod Sukma apabila berjaya mengangkat bebanan seberat 137kg. - Foto BERNAMA

Badang Selangor lebur dua rekod SUKMA

TAPAH: Tuah penampilan kali ketiga dan terakhir pada Sukan Malaysia (SUKMA), atlet angkat berat Selangor, Mohd Yusoff Nandong akhirnya menebus kekecewaannya sebelum ini dengan memecahkan dua rekod temasya pada hari pertama sukan itu dipertandingkan hari ini.

Bertanding dalam kategori bawah 56 kilogram lelaki, Mohd Yusoff yang berumur 20 tahun berjaya melakar rekod temasya yang baharu pada percubaan kedua dengan melakukan angkatan 116kg bagi acara snatch dan juga merekodkan 137kg bagi clean and jerk pada angkatan ketiga. 

Rekod lama acara snatch dan clean and jerk SUKMA sebelum ini milik atlet Kedah, Mohd Shafiq Ismail yang dilakukan lapan tahun lalu di SUKMA Melaka apabila mencatatkan 115kg (snatch) dan 136kg (clean and jerk).

"Dua pingat emas yang saya menangi ini sangat istimewa kerana saya meraihnya dengan memperbaharui rekod SUKMA selepas hanya berpuas hati dengan perak pada temasya dua tahun lalu di Sarawak.

“Kemenangan ini saya tujukan buat jurulatih, Naharuddin Mahayuddin yang banyak memberi sokongan selama ini dan tidak berputus asa membimbing saya,” katanya selepas kemenangan di Dewan Merdeka di sini.

Pingat perak acara snatch pula menjadi milik atlet Terengganu, Umar Abdul Aziz Mohd Bustaman dengan angkatan 104kg sementara atlet Pahang, Mohamad Taufiq Idham Razali memenangi gangsa (103kg). 

Pingat perak acara clean and jerk pula menjadi milik atlet Johor, Mohamad Aniq Kasdan dengan angkatan 130kg manakala gangsa dimenangi Umar Abdul Aziz (129kg).

Esok, empat lagi pingat emas akan dipertaruhkan iaitu acara 53kg clean and jerk wanita, 53kg snatch wanita, 62kg clean and jerk lelaki dan 62kg snatch lelaki.

432 dibaca
Berita Harian X