Khamis, 17 Mei 2018 | 5:40pm
SKUAD bimbingan Dhaarma tumpas 2-3 kepada India dalam aksi keempat Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Donghae. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Malaysia hampir malukan India

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki wanita negara berjaya memberi tentangan sengit kepada India sebelum tumpas 2-3 dalam aksi keempat Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Donghae, Korea Selatan, hari ini.

Kini, Malaysian Tigress perlu menanti keputusan antara China menentang Jepun pada Sabtu ini untuk melihat sama ada mereka berjaya menempah tiket ke penentuan tempat ketiga.

Kejohanan ACT menggunakan format liga sepusingan membabitkan lima pasukan, dan Malaysia setakat ini sudah memungut tiga mata hasil kejayaan mencalar ego Jepun 3-2 (semalam).

Jepun ketika ini berada di tangga terbawah dengan satu mata.

Dalam aksi hari ini, gol India dihasilkan oleh Gurjit Kaur (m-17), Vandana Katariya (m-33) and  Lalremsiami (m-40) manakala Malaysia yang cuba melakar kebangkitan menjaringkan gol menerusi sumbangan Nuraini Rashid (m-36) dan Hanis Nadiah Onn (m-48).

Malaysia kini menghuni ranking ke-22 dunia berbanding India di kedudukan ke-10.

"Kami sedar kekuatan dimiliki India ketika memasuki perlawanan dan perlu bergantung kepada gerakan serangan balas dan saya amat gembira kerana pemain berjaya menafikan penguasaan penuh India pada perlawanan hari ini," kata Dhaarma.

"Kini kami perlu menunggu keputusan aksi China-Jepun untuk melihat sama ada kami berpeluang melayakkan diri ke penentuan tempat ketiga ataupun sekadar menamatkan kempen di tempat kelima.

"Tetapi saya merasakan kita berpeluang cerah untuk mengelak kedudukan tercorot kerana bukannya mudah untuk Jepun menewaskan China, mereka perlu berada di tahap terbaik untuk melakukannya."

1306 dibaca
Berita Harian X