Isnin, 16 April 2018 | 6:58pm
DATUK Snowdan Lawan (berdiri empat dari kanan) dan Datuk Dr Mohd Khairi Zawi (berdiri lima dari kanan) bergambar bersama peserta Program Talent Outreach ISN di Padawan. - Foto Mohd Latif Ahmad

ISN dakwa Program Podium lahirkan pemenang emas baharu

PADAWAN: Di sebalik ramai yang menyifatkan pencapaian kontinjen negara di Sukan Komanwel Gold Coast yang dilabuhkan semalam sebagai satu kegagalan, Institut Sukan Negara (ISN) yang melaksanakan Program Podium berpendapat sebaliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Mohd Khairi Zawi menyifatkan ia pencapaian terbaik berjaya dilakarkan kontinjen negara walaupun sekadar menduduki tempat ke-12 keseluruhan dengan pungutan tujuh pingat emas.

Malah, beliau menegaskan Program Podium berjaya membawa kontinjen negara mencapai sasaran untuk menghasilkan pemenang pingat emas yang baharu pada temasya kedua terbesar dunia itu.

"Salah satu sasaran kita di Gold Coast adalah memperbaiki pencapaian berbanding di Glasgow, Scotland pada 2014, di mana atlet kita berjaya mengatasi sasaran ditetapkan.

"Ini jelas menunjukkan keupayaan Program Podium yang dilaksanakan, malah kita cukup berbangga apabila kesemua pemenang pingat emas di Gold Coast dalam kalangan atlet baharu," katanya.


DATUK Dr Mohd Khairi Zawi (dua dari kiri) dan Datuk Snowdan Lawan meninjau sesi latihan sempena Program Talent Outreach ISN di Padawan. - Foto Mohd Latif Ahmad

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pusat Latihan Talent Outreach ISN di Kompleks Sukan Padawan, Siburan, di sini yang disempurnakan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.

Pada temasya selama 11 hari di Gold Coast itu, kontinjen negara sekadar membawa pulang tambahan satu emas daripada enam yang diraih di Glasgow walaupun tanpa Program Podium dan lebih mengecewakan kontinjen negara kali ini gagal mencapai sasaran menduduki kelompok 10 terbaik keseluruhan seperti disasarkan. 

Sementara itu, Snowdan berkata, atlet negara khususnya yang berasal dari Sarawak mempamerkan peningkatan memberangsangkan dalam Sukan Komanwel, namun masih banyak perlu diperbaiki.

313 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »