Selasa, 13 March 2018 | 11:29pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2017 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Khairy puji pencapaian gemilang 2017

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memuji pelbagai kejayaan yang diraih atlet negara sepanjang saingan tahun lalu.

Berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) sebentara tadi, Khairy memberi pujian kepada kontinjen negara yang muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dengan memungut 145 pingat emas, 91 perak dan 85 gangsa, Ogos tahun lalu.

"Bermula pada 17 September 2017 pula, atlet luar biasa kita mula berjuang di gelanggang masing-masing. 90 pingat emas, 85 perak dan 85 gangsa - satu kebanggaan untuk kita semua rakyat Malaysia.

"Namun apa yang diberikan oleh atlet para kita bukan hanya sekadar kilauan pingat, tetapi yang lebih utama, mereka semua adalah sumber inspirasi buat semua rakyat Malaysia supaya menjadi versi terbaik kepada diri masing-masing," katanya.

Jelas Khairy, kejayaan sukan negara untuk tahun lalu bukan hanya ketika temasya KL 2017 sahaja tetapi melebihi daripada itu.

"Cheong Jun Hoong dinobatkan Juara Dunia Acara 10 meter platform wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, yang juga Juara Dunia pertama Malaysia dalam sukan terjun.

"Jun Hoong membuktikan tiada apa yang mustahil di dunia, termasuk keupayaannya merobohkan Tembok Besar China," katanya.

Lebih membanggakan, katanya selepas sekian lama menanti, sukan berbasikal negara pula akhirnya menyaksikan juara dunia pertama berjaya dilahirkan menerusi pelumba trek, Azizulhasni Awang.

"Pada kejohanan berbasikal trek dunia di Hong Kong tahun lalu, atlet dari Terengganu ini membuktikan kita mampu menjadi juara dengan semangat dan disiplin yang baik, sungguhpun fizikal kita berbeza dengan pelumba dunia yang lain.

"Arena tenpin boling negara menutup tirai 2017 dengan pencapaian membanggakan oleh pasukan tenpin boling wanita Malaysia apabila muncul juara kategori berpasukan di Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas akhir tahun lalu," katanya.

Beliau turut memuji kejayaan atlet negara lain termasuk skuad hoki lelaki negara yang menempah slot ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, Disember depan.

269 dibaca
Berita Harian X