Selasa, 13 March 2018 | 5:46pm
KETUA Pegawai Eksekutif Ciclista Sports, M Kumaresan. - Foto BERNAMA

Penganjur jamin keselamatan pelumba LTdL 2018

KUALA LUMPUR: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Ciclista Sports Sdn Bhd memberi jaminan keselamatan pelumba yang bertanding pada kejohanan berbasikal terulung Asia itu yang bakal bermula di Kangar, Perlis, pada Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports, M Kumaresan berkata, penganjur sentiasa peka mengenai tahap keselamatan pelumba dan sudah menyediakan pelan alternatif sekiranya terdapat beberapa kejadian luar jangka berlaku seperti jalan rosak, tanah runtuh atau mendap.

"Kesemua 22 pasukan bertanding akan dimaklumkan mengenai perubahan laluan pertandingan, sehari sebelum perlumbaan bermula sekiranya terdapat beberapa perkara luar jangka seperti tanah runtuh dan jalan rosak tapi kita harap perkara itu tidak akan berlaku.

"Pasukan teknikal kita akan melakukan pemeriksaan, sehari sebelum bermulanya perlumbaan bagi memastikan kejohanan ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah," kata Kumaresan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BERNAMA selepas menjadi tetamu undangan program 'Bernama Today' terbitan BERNAMA News Channel di Wisma Bernama, di sini, hari ini.

Kumaresan berkata, pegawai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan tiba di Pulau Langkawi pada 16 Mac ini bagi melihat sendiri perjalanan kejohanan sehingga perlumbaan peringkat terakhir pada 25 Mac ini.

Katanya, beberapa aspek teknikal diambil kira oleh UCI termasuk papan tanda, penghadang pagar perlumbaan dan beberapa peralatan lain bagi memastikan ia memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk penganjuran kejohanan berbasikal antarabangsa.

Sejumlah 22 pasukan berstatus Jelajah Profesional Dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan pada edisi ke-23 kali ini, meliputi jarak keseluruhan  perlumbaan 1,341 kilometer (km), membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Saingan LTdL 2018 yang bermula dari 18 hingga 25 Mac ini hanya menampilkan dua pasukan Jelajah Profesional Dunia - Dimension Data dan Astana yang membabitkan lapan peringkat perlumbaan.

Selain itu, beberapa pasukan profesional benua yang mengesahkan penyertaan kali ini termasuk Androni Giocattoli-Sidermec, Bardiani CSF, Manzana Postobon, Wilier Triestina dan Bennelong Swisswellness Cycling. - BERNAMA

214 dibaca
Berita Harian X