Rabu, 7 March 2018 | 1:29am
YANG di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (tengah) menyampaikan Anugerah Olahragawan Negeri kepada Ho Mun Hua pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-36 malam tadi. - Foto BERNAMA

Mun Hua, Liu Ying dinobat Olahragawan, Olahragawati Melaka

MELAKA: Bekas atlet wushu kebangsaan, Ho Mun Hua yang dinobatkan sebagai Olahragawan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka ke-36, memasang impian untuk berkhidmat sebagai jurulatih skuad wushu negeri ini, sekiranya diberikan kepercayaan berbuat demikian.

Mun Hua, 28, berkata beliau berhasrat untuk mencurahkan ilmu dan pengalamannya dalam pentas wushu dunia bagi melahirkan lebih ramai atlet wushu baharu di negeri berkenaan.

"Selepas ini, saya bercadang mengembara di beberapa negara bagi mendalami ilmu wushu sebelum terjun ke dunia kejurulatihan," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah Olahragawan MSN Melaka di sini malam tadi.

Pemenang pingat emas acara nanguan lelaki di Kejohanan Wushu Dunia 2015 di Jakarta, itu berkata buat permulaan selepas bersara daripada dunia wushu, beliau ingin berkhidmat sebagai jurulatih wushu negeri ini terlebih dahulu.

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi seperti jurulatih saya, Chan Chin Hin yang kini menjadi jurulatih wushu Melaka, sebelum memasang impian yang lebih tinggi," katanya yang berasal dari Machap, Alor Gajah di sini.

Sementara itu, anugerah olahragawati menjadi milik Goh Liu Ying daripada sukan badminton.

Kedua-dua atlet berkenaan, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Anugerah Olahragawan Harapan pula diraih atlet olahraga, Khairul Hafiz Jantan sementara seorang lagi atlet wushu, Tan Cheong Min dipilih sebagai Olahragawati Harapan.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Bagi anugerah berpasukan pula, pasukan bola sepak Melaka United muncul Pasukan Lelaki Terbaik manakala pasukan hoki wanita mengungguli kategori Pasukan Wanita Terbaik, dengan kedua-dua pasukan berkenaan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi serta sijil.

Anugerah Jurulatih Terbaik dimenangi jurulatih wushu, Chai Chin Hin, dan beliau menerima hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Ikon Pembangunan Sukan pula menjadi milik Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang juga juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka.

260 dibaca
Berita Harian X