Rabu, 14 Februari 2018 | 12:05pm
WALAUPUN menyukai lapangan di Kelab Country Riviera tetapi rekod Tiger Woods tidak begitu baik di lapangan ini.

Woods mahu hapus badi Riviera

LOS ANGELES: Tiger Woods suka banyak perkara tentang Kelab Country Riviera, tetapi tidak dengan rekodnya di sini.

"Saya suka lapangan ini, saya suka susun aturnya, ia indah di mata saya dan saya bermain dengan teruk sekali," kata Woods menjelang Terbuka Genesis yang akan bermula esok.

"Ia salah satu daripada perkara yang pelik."

Sejarah antara Woods dan Riviera cukup lama. Dia memulakan Jelajah PGA pertamanya di Riviera ketika berusia 16 tahun pada tahun 1992, bermain atas tiket jemputan penaja dan gagal melepasi kelayakan.

Kemudian dia merangkul 79 gelaran Jelajah Amerika Syarikat dan 14 kejuaraan major, tetapi dalam 10 penampilan di Riviera, keputusan terbaiknya ialah di tempat kedua pada 1998, disusuli dengan terikat di kedudukan sama pada tahun berikutnya.

Ia satu-satunya kejohanan yang kerap disertai tetapi tidak pernah bergelar juara.

Kali terakhir di beraksi di kejohanan ini ialah pada tahun 2006, dan dia mungkin terus tersisih dari Riviera jika tidak mengambil alih sebagai penganjur kejohanan tahun lalu.

Kepulangannya yang dijadualkan pada tahun 2017 terbantut akibat kecederaan belakang yang berulang.

Setahun lalu, Woods terlalu sakit sehingga tidak mampu duduk dalam sidang media menjelang kejohanan, apatah lagi untuk bersaing.

Dia kini bermain tanpa rasa sakit selepas menjalani pembedahan tulang belakang April lalu.

"Saya terlalu ingin untuk menjuarai kejohanan," kata pemain 42 tahun itu tentang kepulangannya.

"Saya cuba untuk mengharungi proses itu, sampai ke titik itu."

Terikat di tangga ke-23 di Terbuka Farmers Insurance tiga minggu lalu adalah permulaan yang baik, walaupun Woods bergelut dengan pukulan tee di Torrey Pines.

Selepas kejohanan itu Woods berkata, dia mengalami rasa sakit, bukan di belakangnya tetapi di kaki.

"Saya tidak biasa berjalan. Saya sudah biasa naik kart dan bermain 36 lubang. Ia sakit yang baik, cuma berbeza," katanya. - AFP

133 dibaca
Berita Harian X