Selasa, 13 Februari 2018 | 8:35pm
PRESIDEN Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa (tengah) bersama Pengurus Pemasaran 100plus, Leong Wai Yin (dua dari kanan) ketika sidang media di Hotel Hilton, Kuala Lumpur turut bersama Naib Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap (kanan), Konsultan F&N, Datuk Kamal Harun (dua dari kiri) dan Pengurus Penajaan dan Pengaktifan 100pluss, ENgku Isyam Tuan Losen (kiri) - Foto Syarafiq Abd Samad

Juara dunia dominasi Anugerah SAM-100PLUS 2017

PETALING JAYA: Lima calon termasuk juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang disenarai pendek bagi merebut Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM ) - 100Plus 2017 yang dijadual berlangsung pada 1 Mac ini di Hotel Hilton.

Namun atlet berbasikal trek itu bakal mendapat tentangan sengit daripada empat juara dunia lain iaitu Cheong Jung Hoong dari sukan terjun, Wong Weng Son (wushu) dan trio Duilian wanita iaitu Phoo Eyin, Loh Ying Ting serta Tan Cheong Min.

Turut disenarai, pasukan tenpin boling wanita yang dibarisi Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan.

"Majlis Anugerah SAM-100PLUS yang gilang gemilang ini akan menjadi platform terbaik selepas rentetan pencapaian hebat atlet negara dan pemegang taruh yang lain dalam mewarnai kancah sukan negara sepanjang tahun lalu," kata Presiden SAM, Ahmad Khawari Mohd Isa pada sidang media, hari ini.

Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik pula menyaksikan saingan empat calon iaitu Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli masing-masing dari sukan olahraga, Cheah Liek Hou (badminton) serta Muhammad Afiq Afify Rizan dan Muhammad Khairul Adha Rasol (berbasikal trek).

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2017 juga turut menyediakan tiga anugerah lain iaitu Atlet Muda Terbaik, Atlet Berpasukan Terbaik dan Persatuan Sukan Dinamik.

Bagi melengkapkan tahun penuh bermakna sukan negara, 100PLUS sebagai penaja utama juga mewujudkan anugerah khas iaitu 'Anugerah Personaliti Sukan 100 PLUS Active' dengan pengundian terbuka kepada seluruh peminat sukan negara menerusi laman sesawang rasmi 100PLUS, www.100PLUS.com.my.

Seramai 12 personaliti sukan tersenarai dan orang ramai boleh mengundi bermula hari ini sehingga tarikh tutup pengundian pada 28 Februari ini.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS juga memberi pengiktirafan kepada warga kewartawanan sukan negara menerusi tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan.

Ia terdiri daripada Laporan Berita Terbaik membabitkan media cetak dan elektronik,  Ulasan Berita Terbaik (media cetak dan elektronik), Laporan Khas Terbaik (terbuka), Fotografi Sukan Terbaik dan Laporan Sukan Permotoran Terbaik (dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang).

Untuk anugerah berkenaan, sebanyak RM47,500 hadiah wang tunai secara keseluruhan ditawarkan sementara pemenang terbaik keseluruhan kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima 'Anugerah Siebel' dengan hadiah wang tunai RM7,000 beserta trofi.

151 dibaca
Berita Harian X