Ahad, 14 Januari 2018 | 10:45am
PEMAIN golf Amerika Syarikat, John Peterson bersama keluarganya berlindung di bawah tilam dalam tab mandi susulan laporan palsu serangan peluru berpandu balistik dekat Hawaii hari ini. - Foto AFP

Pemain golf panik amaran serangan palsu

HAWAII: Sebahagian pemain golf terbaik dunia panik berikutan laporan palsu menyatakan berlaku serangan peluru berpandu balistik dekat Hawaii hari ini dengan ada yang bersembunyi bawah tilam dan lari ke tingkat bawah tanah hotel di Honolulu.

Amaran berkenaan yang dikeluarkan sejurus selepas 8 pagi waktu tempatan dihantar tiga jam sebelum pusingan ketiga Jelajah PGA Terbuka Sony.

"Jadi.......ini sesuatu yang tidak bagus. Semua orang sangat takut di hotel," kata Steve Wheatcroft menerusi twitter pada jam 8.14 pagi waktu tempatan.

Pemain lain, J J Spaun, berlindung di tingkat bawah hotel berkenaan.

"Tiada langsung pemberitahuan. Bolehkah anda hantar mesej pengesahan menerusi radio atau tv," katanya menerusi twitter pada jam 8.26 pagi.

Dua minit selepas itu, John Peterson mendedahkan langkah berlindung yang perlu diambilnya.

"Di bawah tilam dalam tab mandi dengan isteri, bayi dan ipar. Mohon kepada tuhan biarlah ancaman bom ini tidak benar," kata Peterson, yang terikat di tangga kedua pada pertengahan saingan itu.

Peterson dan Spaun mengambil masa lebih lama berbanding Justin Thomas untuk menerima berita bahawa amaran itu sebenarnya tersilap hantar. - AFP

314 dibaca
Berita Harian X