Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:52pm
PEMAIN Terengganu Hockey Team (THT), Mohd Fitri Saari (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC), Havinder Singh gol pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Batu Buruk, kelmarin. - Foto Ghazali Kori

Kami perlu bangkit : Fitri Saari

KUALA LUMPUR: Selepas berdepan dua kekecewaan berturut-turut, pemain tengah Pasukan Hoki Terengganu (THT), Fitri Saari berharap dia serta rakan sepasukan lain dapat bangkit semula untuk menewaskan TNB Thunderbolts pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Hoki Batu Buruk, esok.

THT melalui detik malang dalam tempoh seminggu apabila gagal mempertahankan Piala Tan Sri P Alagendra selepas tewas kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) minggu lalu.

Mereka kemudian tewas kepada lawan sama untuk perebutan Piala Sumbangsih semalam dengan kedua-dua perlawanan itu ditentukan menerusi penalti shoot out.

"Kami perlu bangkit semula apabila bertemu TNB Thunderbolts esok sekali gus meraih tiga mata.

"Tapi kami tidak boleh memandang rendah Thunderbolts kerana mereka sudah membuktikan kemampuan dengan menewaskan Maybank pada perlawanan pertama liga," katanya.

Jelas Fitri, dia serta rakan sepasukannya yang lain perlu segera melupakan kekecewaan itu selain memperbaiki segala kesilapan menjelang pertemuan dengan Thunderbolts.

"Apa yang boleh saya katakan ialah kami tidak bernasib baik pada kedua-dua pertemuan dengan KLHC.

"Selain itu kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang. Hanya pasukan yang memanfaatkan peluang dengan baik akan memenangi perlawanan," katanya.

248 dibaca
Berita Harian X