Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:11pm
PENERJUN Negara, Ahmad Amsyar Azman tidak mahu kemelut melanda kem terjun negara ganggu fokus menjelang Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia 26 Oktober ini.

Fokus Amsyar tak terjejas

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman menegaskan kemelut yang melanda kem terjun negara tidak mengganggu persiapan dirinya dan rakan lain menjelang Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia yang akan berlangsung, 26 Oktober ini.

Malah penerjun kelahiran Perlis itu mengakui kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu bukan tiket untuknya bersenang lenang kerana sedar cabaran yang dihadapi di GP Malaysia lebih sengit dan mencabar.

Malah dia mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dengan jurulatih Yang Zhuliang sentiasa memantau pergerakan dan latihan penerjun.

"Sasaran saya melakukan yang terbaik dan jika ada peluang pastinya saya mahu meraih pingat emas. Saya gembira dapat berlatih dengan jurulatih seperti Yang Zhuliang. Beliau jurulatih terbaik dunia dan terbaik yang Malaysia ada.

"Banyak peningkatan yang dapat dilihat sepanjang berlatih di bawah bimbingan beliau," katanya yang pernah meraih perak di Sukan Asia Incheon 2014.

Meletakkan dua kejohanan besar iaitu temasya Sukan Asia Indonesia-Palembang dan Sukan Komanwel Gold Goast tahun depan sebagai penanda aras, Amsyar berkata dia perlu terus berusaha keras untuk memperbaiki prestasi supaya berada di tahap terbaik.

Terdahulu pada KL2017, penerjun berusia 25 tahun itu menghadiahkan dua emas dan satu perak. Emas disumbangkan dalam acara 1 meter papan anjal dan 3m terjun seirama bersama Chew Yiwei manakala perak diraih dalam acara 3m papan anjal individu.

Bagaimanapun, kejayaan skuad terjun negara menyapu bersih emas di KL2017 dibayangi dengan seorang penerjun yang memenangi emas positif ujian doping selain seorang jurulatih didakwa kerana merogol atlet.

397 dibaca
Berita Harian X