Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:56am
PEMAIN golf Itali, Francesco Molinari merakam sembilan birdie untuk berada dalam senarai enam pemain yang mendahului saingan pada pusingan pertama golf Terbuka Itali di Monza. - Foto EPA

Golf: Molinari kekal di kelompok pendahulu

MILAN: Juara bertahan, Francesco Molinari merakam sembilan birdie untuk berada dalam senarai enam pemain yang mendahului saingan dengan tujuh bawah par 64 pada pusingan pertama golf Terbuka Itali di Monza, awal pagi tadi.

Juara Eropah empat kali dari Itali itu berkongsi catatan bersama Kiradech Aphibarnrat dari Thailand, Jamie Donaldson (Wales), Alexander Bjork (Sweden) serta dua pemain Inggeris, Eddie Pepperell dan Matt Wallace.

"Saya bermula dengan baik. Jadi ia sesuatu yang hebat," kata Molinari menerusi laman web europeantour.com.

Pemain Afrika Selatan, George Coetzee dan pemain Korea Selatan, An Byeong-Hun berada di kelompok kedua dengan enam bawah par, bersama juara Masters, Sergio Garcia.

Kiradech mendahului hampir keseluruhan aksi di sebelah pagi pada lapan lubang pertama, namun gagal melakukan par penting ketika di lubang 18.

"Lapangan ini cukup sesuai dengan cara permainan saya. Jadi disebabkan itu, saya berjaya melakukan permulaan dengan baik," kata Kiradech.

Bjork juga menamatkan aksi dengan cemerlang ketika melakukan birdie pada lubang keenam, kelapan dan kesembilan.

"Saya berjaya beraksi dengan baik dan saya cukup gembira dengan prestasi di pusingan ini," kata Bjork. AFP

95 dibaca
Berita Harian X