Khamis, 12 Oktober 2017 | 9:16pm
PEMAIN golf dari Malaysia, Gavin Kyle Green melakukan pukulan tee pada aksi hari pertama kejohanan golf CIMB ClassicTPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara. - Foto Aizuddin Saad

Gavin sedar perlu lebih bersabar

KUALA LUMPUR: Kegagalan memberi tumpuan di hujung saingan menjejaskan prestasi pemain sensasi golf negara Gavin Kyle Green pada pusingan pertama kejohanan golf CIMB Classic hari ini.

Pendahulu Order of Merit Jelajah Asia yang bermula dari lubang ke-10 itu sekadar mencatat satu atas par 73 untuk menamatkan pusingan pertama dengan berkongsi kedudukan ke-60.

Bermula dengan baik, namun double bogey di lubang ketujuh dan bogey di lubang kesembilan sedikit mencacatkan aksinya hari ini.

"Saya memang bermula dengan baik tapi menamatkan saingan dengan agak mengecewakan. Kemudian saya juga gagal melakukan pukulan putt dengan baik.

"Apapun ia pengalaman yang sangat bermakna dapat bermain bersama Justin (Thomas) serta Xander (Schauffele)," katanya merujuk kepada kedua-dua pemain itu yang diletakkan dalam satu kumpulan bersamanya hari ini.

Thomas juara bertahan sebanyak dua kali sementara Schauffele menamatkan aksi hari ini dengan meyakinkan apabila berkongsi kedudukan kedua.

Mengulas mengenai persediaan esok, Gavin berkata, dia tidak mahu mengulangi kesilapan hari ini.

"Saya perlu lebih bersabar. Hari ini saya dapat melakukannya tapi gagal melakukan pukulan pertama dengan baik di lubang ketujuh dan ia menyebabkan saya melakukan double bogey.

"Jika tidak kerananya, saya mungkin dapat menamatkan saingan dengan satu bawah par dan jika tidak kerana bogey di lubang kesembilan mungkin juga mampu menamatkan saingan dengan dua bawah par," katanya.

82 dibaca
Berita Harian X