Khamis, 12 Oktober 2017 | 9:09pm
CAMERON Smith dari Australia catat lapan bawah par 64 selepas membenam lapan birdie sekali gus mendahului satu pukulan pada hari pertama kejohanan CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Smith pendahulu hari pertama CIMB Classic

KUALA LUMPUR: Cameron Smith dari Australia mengintai peluang meraih kejuaraan kedua dalam Jelajah PGA AS apabila dia mendahului hari pertama kejohanan CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur, hari ini.

Smith, yang merangkul kejuaraan sulungnya pada Zurich Classic di New Orleans April lalu, mencatat lapan bawah par 64 selepas membenam lapan birdie sekali gus mendahului satu pukulan di depan pemain Thailand, Poom Saksansin dan dua pemain Amerika Syarikat, Xander Schauffele dan Keegan Bradley.

Pemain berusia 24 tahun itu, yang sudah memahami mengenai selok-belok lapangan selepas berkongsi tangga kelima pada 2014, menuruti perancangan permainannya yang ternyata berhasil di sebalik kesukaran menangani cuaca panas.

"Saya berasa terlalu panas, hari ini memang amat panas," kata Smith.

"Perancangan sama esok, bermula baik di tee, cuba untuk kekal di fairway kemudian bertindak agresif ke green dan melakukan putt dengan baik."

Poom, yang turut berusia 24 tahun, berazam muncul pemain pertama Thailand menjulang trofi CIMB Classic dan setakat ini melakukan tugas cemerlang dalam penampilan sulungnya pada kejohanan bernilai AS$7 juta (RM29 juta) itu.

Bagi pemenang dua kejuaraan dalam Jelajah Asia itu, dia cuba untuk mengekalkan ketenangannya dalam penampilan sulung pada kejohanan Jelajah PGA.

Sekalipun tidak bermula baik pada sembilan lubang pertama dengan birdie tunggal pada lubang ke-10, Poom bangkit pada sembilan lubang terakhir dengan empat birdie berturut-turut dari lubang pertama selain dua birdie lagi pada lubang kelapan dan kesembilan.

"Saya tidak tahu, saya hanya terus bermain dan bola asyik masuk," kata Poom. "Saya tidak menjangkakan apa-apa."

Seperti Poom, Pemain Rookie Tahunan Jelajah PGA, Schauffele turut mempunyai strategi sendiri dengan mencontohi persembahan juara bertahan Justin Thomas.

"Saya cuba meniru apa saja yang dilakukannya kerana saya dapati dia pemain yang bagus untuk dicontohi di luar sana," kata Schauffele.

Dalam pertembungan terakhir mereka, Schauffele mengatasi Thomas untuk memenangi Kejuaraan Jelajah namun Thomas ditabal juara Piala FedEx bagi musim 2016-17 serta Pemain Terbaik Tahunan PGA.

78 dibaca
Berita Harian X