Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:52pm
PELUMBA basikal negara, Mohd Fadhil Zonis (tengah) merangkul pingat emas acara 1 kilometer ujian masa individu pada Piala Asia di Delhi, semalam. - Foto FB Cycling Federation of India

Fadhil raih emas ujian masa individu Piala Asia

kKUALA LUMPUR: Pelumba basikal negara, Mohd Fadhil Zonis masih jauh daripada puncak prestasinya namun itu sudah memadai buat pelumba trek itu merangkul pingat emas acara 1 kilometer ujian masa individu pada Piala Asia di Delhi, semalam.

Pelumba kelahiran Selangor itu menang dengan mencatat satu minit 4.028 di India, yang mana ia catatan masa yang biasa dicatatkannya.

Pelumba Arab Saudi, Abdulaziz Alkhuwaytim (1:05.858) dan Sahil Kumar (1:06.645) dari India masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Fadhil berharap kemenangannya itu akan mengukuhkan lagi peluangnya untuk terpilih ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) tahun depan.

ACC selepas ini akan diadakan di Velodrom Nasional, Nilai pada Februari depan.

"Saya puas hati dengan keputusan ini kerana saya mengambil sedikit masa selepas berakhirnya Sukan SEA untuk kembali mendapat rentak dan tidak melakukan latihan khusus bagi acara ini," kata pelumba berusia 19 tahun itu ketika dihubungi.

"Sasaran saya di sini (di Delhi) adalah untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri ke siri Piala Dunia UCI yang akan bermula bulan depan.

"Saya juga berharap dapat menyertai pasukan ACC tapi kami perlu lihat bagaimana selepas ini kerana hanya ada satu tempat saja bagi acara ujian masa individu."

Fadhil mencipta nama pada Sukan SEA Ogos lalu apabila hampir memecah rekod kebangsaan 1km ujian masa individu dengan merangkul pingat emas.

Dia merekod 1:01.889 dalam perlumbaan di Nilai, hanya 1:01.658s di belakang rekod kebangsaan yang dibuat Rizal Tisin pada 2009.

304 dibaca
Berita Harian X