Khamis, 12 Oktober 2017 | 6:45pm
PEGAWAI Eksekutif Perniagaan Nestle Malaysia, Philomena Tan (barisan tengah, empat kiri) bergambar bersama atlet yang menang pingat pada temasya Sukan Sea KL2017 dan Para Asean KL2017, peserta klinik Milo Champion dan jurulatih selepas menyampaikan token penghargaan juara Milo kepada atlet Sukan SEA KL2017 dan Para Asean KL2017 yang menang pingat di Dewan Tan Sri Hamzah Arena, Wisma OCM. - Foto Owee Ah Chun

MILO rai 8 atlet Sukan SEA dan Para 2017

KUALA LUMPUR: MILO memberi pengiktirafan dan meraikan kejayaan lapan atlet negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN baru-baru ini.

Syarikat itu mengiktiraf kejayaan beberapa atlet negara yang dilahirkan melalui Program Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Mereka terdiri daripada pemain hoki kebangsaan, Joel Van Huizen, ratu pecut para, Felicia Mikat, Ng Eain Yow (skuasy), Syakilla Salni Jefry Krisnan (karate), Nur Izzati Yaakob (bola keranjang), Welson Sim (renang), Nur Dhabitah Sabri (terjun) dan Abdul Latif Romly (olahraga).

Bagaimanapun, Joel, Dhabitah dan Latif tidak dapat hadir kerana menjalani latihan.

"Sejak lebih enam dekad lalu, MILO merintis kecemerlangan dan berkembang dalam arena sukan di negara ini.

"Kami bangga dapat menjadi sebahagian daripada pencapaian generasi baharu atlet Malaysia yang mewakil negara di persada dunia. Kegigihan dan dedikasi atlet dapat menjadi contoh dan inspirasi terbaik kepada semua supaya dapat terus mengejar impian masing-masing," kata Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan MILO, Nestle Malaysia, Philomena Tan.

Mengulas lanjut, Philomena berkata, bagi MILO, sukan memainkan peranan sebagai pendidik untuk membentuk karakter dan menerapkan nilai murni dalam kehidupan demi masa depan yang lebih baik.

Katanya, sukan turut memainkan peranan dalam mempengaruhi kehidupan anak-anak selain dapat memupuk nilai positif seperti kegigihan, semangat sepasukan dan dedikasi supaya mereka terus maju serta berdaya saing dalam kehidupan.

Sejajar dengan komitmen membangunkan bakat sukan negara, MILO memperkenalkan MILO Champions Clinic pada 2015 yang berlangsung selama lapan minggu, iaitu memberi peluang kepada kanak-kanak berlatih di bawah jurulatih bertauliah.

Hasilnya, MILO berjaya memberi manfaat kepada 2,600 kanak-kanak dan memberi peluang kepada ibu bapa mendorong anak mereka lebih aktif bersukan.

MILO turut memperkenalkan MILO Champions Band - gelang kesihatan untuk kecergasan tubuh kanak-kanak, yang boleh dikendalikan menerusi aplikasi mudah alih bagi memudahkan ibu bapa memantau kadar nutrisi dan aktiviti anak masing-masing.

103 dibaca
Berita Harian X