Rabu, 20 September 2017 | 7:32pm
(DARI KIRI) Mohd Azrin Rahim, Muhamad Hairul Miran, Mohd Rizal Hassan, Nur Syazwani Marais, Abdul Rahman PP Bava Kutty, Muhamad Amin Abd Rashid, Abu Bakar Nyat (kanan) memperagakan pingat emas masing-masing pada acara Tenpin Bowling, Sukan Para Asean KL2017 di Sunway Mega Lines, Sunway Pyramid. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Para KL2017: Teknik Rafiq bantu hayunan emas Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Penangan tangan kidal Abu Bakar Nyat menghadiahkan pingat emas buat skuad boling negara dalam saingan Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017) di Sunway Mega Lanes, sebentar tadi.

Menurutnya, teknik hayunan tangan kiri yang tepat adalah hasil pengamatan terhadap hayunan pemain kebangsaan, Rafiq Ismail, sekali gus membantu dia dan Mohd Azrin Rahim melakukan 2,489 jatuhan pin untuk merangkul emas acara beregu campuran (B9/B9).

Katanya, walaupun tidak pernah berlatih bersama, Abu Bakar kerap menyaksikan teknik hayunan Rafiq ketika menjalani latihan mahupun di televisyen, selain turut kagum dengan kehebatan bintang muda negara itu.

"Saya beraksi dengan tangan kidal, jadi saya banyak mengikut teknik hayunan Rafiq kerana dia juga melakukan hayunan menggunakan tangan kiri.

"Teknik digunakannya membantu saya dalam melakukan hayunan, cuma yang sedikit membezakan ialah dia (Rafiq) boleh mengangkat bola lebih tinggi ketika melakukan hayunan," kata Abu Bakar dalam penyertaan kali keempatnya di temasya serantau ini.

Abu Bakar-Azrin mengetepikan saingan rakan senegara Nadia Syafika Abd Rahman-Wong Kee Soon dengan kelebihan 17 pin, manakala pingat gangsa dimenangi Angelito Guloya-Christopher Yue dari Filipina yang mencatat 2,084 jatuhan pin.

Ia adalah pingat emas keempat Abu Bakar selepas merangkul dua emas pada edisi Kuala Lumpur 2009, dan satu emas pada edisi 2011 Solo, Indonesia, manakala bagi Azrin ia adalah emas kedua peribadinya.

Kejayaan mereka itu melengkapkan dominasi Malaysia pada hari kedua saingan yang menyaksikan keseluruhan empat pingat emas dibolot skuad boling negara daripada tujuh yang ditawarkan.

Turut menyumbang emas hari ini ialah gandingan Abdul Rahman Bava Kutty-Amin Abd Rashid dalam acara beregu campuran (B10/B10), Nur Syazwani Marias menerusi acara individu wanita (B4) dan Muhamad Hairul Miran-Mohd Rizal Hassan beregu campuran (B1/B3).

419 dibaca
Berita Harian X