Khamis, 14 September 2017 | 2:39pm

Para KL2017: Kontinjen Garuda sasar 107 emas

SEPANG: Kontinjen Indonesia menyasarkan 107 pingat emas dalam usaha merampas kembali gelaran juara keseluruhan temasya Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang akan membuka tirainya bermula dari 17 hingga 23 September ini.

Ketua kontinjen Indonesia, Dr Bayu Rahadian berkata, 200 atlet yang akan bertanding dalam 11 acara sudah bersedia membawa cabaran 'Garuda' untuk mengulangi pencapaian cemerlang muncul juara keseluruhan yang dilakar pada edisi 2014 di Myanmar.

Menurutnya, antara sukan yang berpotensi menjadi penyumbang utama dalam mencapai sasaran 107 pingat emas itu adalah sukan olahraga, renang, catur, badminton dan ping pong.

"Kita sudah mempersiapkan seramai 200 atlet yang akan bertanding dalam 11 sukan dengan beberapa program latihan rapi sejak bulan Mac lalu hingga ke saat ini. Mereka sudah bersedia untuk berjuang.

"Bagi edisi kali ini, kami mahu cuba yang terbaik untuk mendapatkan seberapa banyak pingat emas yang termampu dan 107 pingat emas itu adalah satu sasaran yang realistik," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata satu perjumpaan bersama Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Narhawi semalam telah membantu melonjakkan motivasi barisan atlet untuk berjuang bersungguh-sungguh pada temasya dwitahunan itu.

"Mereka (atlet) sudah siap semangat selepas menerima ucapan motivasi daripada pak menteri dan itu akan membakar semangat mereka semua untuk mencuba yang terbaik pada Sukan Para ASEAN ini," katanya.

Sebagai rekod, Indonesia dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Para ASEAN edisi 2014 selepas mengumpul 99 pingat emas untuk meninggalkan pesaing utama, Thailand di tempat kedua dengan jumlah 96 pingat emas.

Bagaimanapun, Indonesia gagal mempertahankan gelaran itu selepas hanya sekadar meraih 85 pingat emas sekali gus terpaksa berpuas hati di tempat kedua di belakang juara, Thailand yang mengumpul 95 pingat emas pada edisi 2015 di Singapura. - BERNAMA

113 dibaca
Berita Harian X