Khamis, 14 September 2017 | 2:35pm
MASKOT 'Rimau' bersama sebahagian daripada atlet Para ASEAN Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA

Para KL2017: Thailand akur ancaman Malaysia

SEPANG: Juara bertahan, Thailand menyedari ancaman daripada tuan rumah, Malaysia yang ingin merampas gelaran juara keseluruhan Sukan Para ASEAN, Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) apabila sukan dwitahunan itu membuka tirai 17 hingga 23 September ini.

Chef de missionnya, Pitak Polkhan, mengakui hakikat Thailand akan menghadapi cabaran sengit Malaysia untuk mempertahankan mahkota juara keseluruhan pada edisi kesembilan temasya sukan yang diadakan untuk atlet kelainan upaya itu.

Kecuali pada edisi sulung apabila tuan rumah, Malaysia, menjadi juara keseluruhan pada 2001 dan Indonesia muncul sebagai juara pada 2013 di Myanmar, Thailand menjadi juara keseluruhan bagi enam edisi lainnya.


SEBAHAGIAN daripada atlet Para ASEAN Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA

Tahun ini, Thailand menghantar kontinjen 291 anggota setelah membuat persiapan sejak Mac.

"Disebabkan kekangan daripada segi bajet, kami hanya mampu membuat persiapan mulai Mac.

"Kami akan cuba untuk muncul sebagai juara keseluruhan sekali lagi, tapi saya tidak dapat mendedahkan jumlah pingat yang kami sasarkan," katanya kepada pemberita ketika ditemukan semasa ketibaan kontinjen negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.

Thailand menjadi juara keseluruhan APG di Singapura 2015 dengan memenangi 95 pingat emas, 76 perak dan 79 gangsa, manakala Malaysia menduduki tempat ketiga (52-58-37) di belakang Indonesia (81-74-63).

Pada Sukan Paralimpik Rio 2016, Thailand menduduki tangga ke-23 daripada 159 negara setelah memenangi enam pingat emas, enam perak dan enam gangsa, manakala Malaysia di tangga ke-36 dengan tiga emas dan satu gangsa. - BERNAMA

185 dibaca
Berita Harian X