Rabu, 13 September 2017 | 6:57pm
ATLET Para bola keranjang negara, Ahmad Nazri Hamzah (kiri) bersama pengurus pasukan, Chee Chen Soon (tengah), jurulatih, Lim Ming Lip (dua dari kanan), Abbas Aghakouchaki (dua dari kiri) dan Muhammad Khairul Azman pada sidang media Kita Juara sempena Sukan Para Asean 2017 di Hotel Seri Pacific. - Foto Osman Adnan

Para KL2017: Skuad bola keranjang yakin tamat kemarau emas

KUALA LUMPUR: Skuad bola keranjang berkerusi roda semakin yakin menamatkan kemarau emas di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) apabila berjaya membaiki punca kelemahan yang menyumbang kegagalan dua tahun lalu.

Kapten negara, Ahmad Nazri Hamzah, berkata kelemahan dalam aspek melakukan jaringan menyebabkan skuad negara terpaksa akur pulang dengan dua perak manakala Thailand gah meraih dua emas dalam dua acara yang dipertandingkan.

"Dua tahun lalu di Singapura, kami kekurangan pemain yang mampu meledak jaringan menjadi punca kekalahan. Jadi, kali ini amat berbeza kerana semua 12 pemain yang tersenarai mampu melakukan jaringan dengan baik.

"Kami harap kejutan akan berlaku untuk sekurang-kurangnya meraih sebutir pingat emas buat kali pertama di laman sendiri," katanya yang tampil buat kali ketiga mewakili negara di Sukan Para ASEAN.

Bola keranjang berkerusi roda mempertandingkan dua acara iaitu tiga lawan tiga dan berpasukan dengan saingan akan dijalankan liga sepusingan membabitkan lima negara termasuk juara bertahan Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos.

"Sebenarnya jurang antara skuad negara dan Thailand tidak terlalu jauh. Sebelum ini kami hanya tewas kepada mereka dengan jumlah mata yang sedikit.

"Kali ini kami bertambah yakin dengan kehadiran jurulatih kebangsaan Iran, Abbas Aghakouchaki yang turut membantu persiapan skuad negara," katanya.

Skuad negara bersaing sejak 2005, namun sehingga kini masih memburu emas pertama di Sukan Para ASEAN.

66 dibaca
Berita Harian X