Selasa, 12 September 2017 | 7:39pm
PENAUNG Majlis Paralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah (kanan) bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua kanan) meletakkan obor sambil diperhatikan SM Nasarudin SM Nasimuddin (kiri) pada Majlis Penyerahan Obor Kontinjen Para Malaysia ke Sukan Para Asean 2017 di Kem Fasa Akhir Para Asean di Hotel Seri Pacific. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Kontinjen akan buat kita bangga - Tun Jeanne

KUALA LUMPUR: Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah percaya kontinjen negara akan melakukan yang terbaik bagi memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumur 2017 (Para KL2017) yang akan membuka tirai secara rasmi, Ahad ini.

Beliau berharap seluruh rakyat Malaysia akan memberi sokongan kepada atlet paralimpik negara yang diyakini akan menjadi pencetus semangat untuk mereka melakar kejayaan pada temasya kali ini.

"Saya percaya dan sayang kepada mereka. Saya percaya mereka akan melakukan yang terbaik untuk memberikan kejayaan dan membuatkan kita berasa bangga.

"Saya harap semua pihak akan memberikan sokongan dan hadir bagi menyaksikan sendiri aksi mereka di gelanggang. Percayalah, mereka tidak akan menghampakan kita dan saya percaya mereka boleh membuat sesuatu yang kita sendiri pun tidak boleh lakukannya... ini adalah rumah kita dan mereka akan buat kita bangga," kata Jeanne.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan obor temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 kepadanya di hotel penginapan atlet dan pegawai di sini, hari ini, sebagai simbolik menandakan bermula perjuangan kontinjen negara pada edisi kesembilan kali ini.

Turut hadir mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan ketua kontinjen negara, Datuk Subramaniam Raman dan timbalan ketua kontinjen, Mohd Shafrushahar Yusoff.

Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran untuk meraih 103 pingat emas, sekali gus bergelar juara keseluruhan.

Ditanya sama ada kontinjen negara mampu mengulangi atlet Sukan SEA 2017 yang melepasi sasaran emas, Jeanne berkata apa yang penting ialah atlet para mempamerkan semangat juang tinggi dan melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama Malaysia.

Ketika tumpuan pastinya terarah kepada tiga pemenang emas Sukan Paralimpik Rio 2016 - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Mohd Ziyad Zolkefli (olahraga) - Jeanne yakin ramai lagi jaguh akan dilahirkan pada temasya Para ASEAN kali ini.

"Sebenarnya kita mempunyai ramai jaguh dan saya percaya ramai akan menyinar pada temasya kali ini, ini adalah pentas mereka. Saya juga kagum dengan peningkatan ditunjukkan skuad bola keranjang berkerusi roda negara, saya yakin mereka boleh lakar kejayaan," katanya.

141 dibaca
Berita Harian X