Selasa, 12 September 2017 | 7:07pm
KETUA jurulatih atlet berbasikal Paralimpik Malaysia, Johari Nayan. - Foto Owee Ah Chun

Para KL2017: Dua atlet paracycling dijangka boleh bertanding

KUALA LUMPUR: Dua pelumba paracycling negara, Mohd Khairul Hazwan Wahab dan Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali dijangka meneruskan aksi di Sukan Para ASEAN 2017 yang bermula hujung minggu ini.

Menurut ketua jurulatih negara, Johari Nayan, dua pelumba berkenaan masih dalam proses pemulihan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika latihan pada Khamis lalu.

"Mereka dikira bertuah kerana tidak mengalami kecederaan pada bahagian penting untuk pelumba basikal iaitu lutut, paha dan punggung, walaupun pergerakan mereka agak terbatas ketika ini, mungkin ketegangan urat dan sebagainya.

"Mereka berkemungkinan akan turun menjalani latihan ringan Sabtu ini, mungkin di gimnasium terlebih dulu. Ia mungkin disusuli latihan bersama pelumba jurumudi yang sudah disenarai pendek bagi melihat stamina dan sebagainya," jelasnya yang turut terbabit dalam kemalangan itu.

Tambah Johari, Khairul Hazwan mengalami sedikit kecederaan pada bahagian alat sulit yang sedikit dijahit namun beliau menjelaskan tiada kekangan untuk berkayuh.

"Manakala Khairul Nizam dijahit di kepala. Saya rasa dia juga tidak merasakan sebarang masalah kerana tidak mengadu pening atau muntah. Jahitan kedua-dua pelumba ini akan dibuka pada Khamis atau Jumaat.

"Kedua-duanya bersemangat untuk meneruskan perlumbaan selepas saya mengadakan pertemuan dengan mereka. Malah mereka mendapat sokongan keluarga," katanya.

Ditanya mengenai sasaran emas kepada dua pelumba itu, Johari menjelaskan beliau masih percaya mereka mampu melakukannya, namun ia tetap bergantung kepada fizikal dan mental pelumba pada hari perlumbaan.

Saingan lebuh raya Sukan Para ASEAN dijadualkan bermula di Putrajaya pada Rabu dan Khamis minggu depan.

84 dibaca
Berita Harian X