Selasa, 12 September 2017 | 5:21pm
PENGURUS atlet angkat berat Para ASEAN, Lt. Komander Idris Abdullah (berdiri, kiri) dan Jamil Adam (berdiri, kanan) bersama Jong Yie Khee (duduk, kiri) dan Sharifah Raudzah Syed Akil pada sidang media Kita Juara 2017, hari ini. - Foto BERNAMA

Para KL2017: Angkat berat tak terjejas tanpa Shahmil

KUALA LUMPUR: Skuad angkat berat negara dijangka tidak berdepan masalah meraih pencapaian membanggakan di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), meskipun tanpa kelibat atlet Program Podium, Mohd Shahmil Md Saad.

Atlet yang memenangi pingat emas kategori 107 kilogram (kg) di Singapura 2015 itu tidak diturunkan akibat masalah kecederaan Cervical Discs di bahagian tengkuk, yang menimpanya sejak Jun lalu.


MOHD Shahmil Md Saad alami masalah kecederaan Cervical Discs di bahagian tengkuk. - Foto Owee Ah Chun

Kecederaan itu menyebabkan prospek emas berkenaan terpaksa berehat dan menjalani proses pemulihan untuk fokus kepada dua temasya lebih besar pada 2018 - Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia dan Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia.

Ketua jurulatih skuad angkat berat Para KL2017, Jamil Adam percaya Malaysia yang menamatkan kempen di Singapura dengan tiga pingat emas, dua perak dan lima gangsa mampu melakar keputusan yang baik di laman sendiri.

"Pada peringkat awal, kita sasarkan temasya di Kuala Lumpur untuk mendapatkan keputusan lebih baik berbanding di Singapura.

"Tetapi disebabkan berlakunya kecederaan kepada seorang prospek emas (Mohd Shahmil), jadi sandaran kita beralih kepada atlet baharu yang sedang meningkat," kata Jamil ketika ditemui pada sesi latihan angkat berat di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya sandaran kali ini juga tetap terarah kepada pemenang emas tiga kali di Sukan Para ASEAN iaitu Jong Yee Khie dalam kategori 97 kg serta dua lagi atlet wanita.

Jamil yang juga ketua jurulatih angkat berat Program Podium menjelaskan temasya di Kuala Lumpur menyaksikan 70 peratus badang negara adalah muka baharu, menjadikan jumlah keseluruhan atlet negara mengambil bahagian seramai 16 orang.

Kali in, Malaysia dijangka akan mendapat saingan sengit atlet Vietnam (juara keseluruhan angkat berat di Singapura), Indonesia dan Thailand.

Dua tahun lalu di Singapura, tiga emas disumbangkan Yee Khie (97kg), Mohd Shahmil (107kg) dan atlet wanita, Sona Agon (67kg), masing-masing berada dalam Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN).

88 dibaca
Berita Harian X