Selasa, 12 September 2017 | 3:07pm
PENGURUS pasukan Goalball Para Asean, Datuk Kamarudin Hassan (kiri) bersama jurulatih, Abdul Karim Raham (kanan), Siti Hajar Hasan (dua dari kiri) dan Muhammad Haiqal Azani Azman pada sidang media Program Kita Juara Para Asean di Hotel Seri Pacific. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017 : Kami bukan penumpang

KUALA LUMPUR: Pasukan goalball wanita tidak mahu 'dianggap sebagai penumpang' sebaliknya mahu membuktikan mereka adalah sebahagian daripada penyumbang pingat buat Malaysia di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), minggu ini.

Walaupun usia penubuhan pasukan belum mencecah setahun dan beraksi buat pertama kali di temasya rantau Asia Tenggara, itu bukan bermakna Malaysia tidak mampu bersaing, sebaliknya pengurusan pasukan yakin dengan sasaran minimum meraih pingat gangsa.

Ketika ini, Thailand dianggap sebagai kuasa besar acara goalball selepas memenangi emas di Singapura 2015 untuk kategori lelaki dan wanita. Namun bagi atlet negara, Siti Hajar Hasan, dia akan memberikan yang terbaik dalam temasya di laman sendiri.

"Saya harap dengan kelebihan Malaysia selaku tuan rumah akan membuahkan hasil.

"Kami sudah memulakan latihan sejak Jun lalu dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lelaki senior.

"Kami menimba ilmu daripada mereka yang menjalani latihan di China sebelum ini," kata Siti Hajar pada sidang media Program Kita Juara 2017 untuk Sukan Para Asean di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Mengulas lanjut, anak kelahiran di Pokok Sena, Kedah ini menjelaskan, secara peribadi dia dan rakan sepasukan mahu menjadi penyumbang pingat emas.

Atlet berusia 28 tahun itu mendedahkan, jika pasukan goalball wanita berjaya meraih pingat emas, Majlis Sukan Negara (MSN) akan meletakkan mereka di dalam program latihan sepenuh masa selepas ini.

Malaysia diwakili 12 atlet iaitu enam wanita dan lelaki untuk beraksi di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC).

Goalball adalah acara sukan tiga pemain sepasukan - yang memerlukan pemain membaling bola masuk ke dalam gol lawan dalam keadaan mereka memakai pelindung mata. Pemain perlu mendengar bunyi loceng untuk memastikan kedudukan serta pergerakan bola.

182 dibaca
Berita Harian X