Rabu, 6 September 2017 | 4:38pm
ATLET boling para negara, Abu Bakar Nyat (kanan) dan Mohammad Amin pada sidang media Program Kita Juara Para Asean di kem fasa akhir Hotel Seri Pasific. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Tenpin boling sasar 13 pingat emas

KUALA LUMPUR: Skuad tenpin boling para kebangsaan menyasarkan untuk mengaut 13 daripada 18 pingat emas yang dipertandingkan dalam acara itu pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang akan berlangsung dari 17 hingga 23 September ini.

Jurulatihnya, Steven Teng Che Man berkata, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kekuatan pemain selain mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penyokong tempatan .

Katanya, pada edisi di Singapura dua tahun lalu, skuad kebangsaan meraih lapan pingat emas dan kali ini beliau menyasarkan tambahan lima lagi pingat emas menjadikan sasaran 13 pingat emas untuk kontinjen negara.

"Seramai 20 atlet yang beraksi di Singapura dikekalkan dan lapan lagi adalah muka baharu, menjadikan seramai 28 atlet keseluruhannya yang akan membawa cabaran Malaysia di Para KL2017," katanya pada sidang media program Kita Juara di sini, hari ini.

Sementara itu, atlet boling negara, Abu Bakar Nyat berkata beliau sudah tidak sabar untuk turun beraksi dan berjuang mengharumkan nama negara.

"Saya berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat dalam setiap kejohanan yang saya sertai sebelum ini dan itu memberi motivasi yang cukup tinggi buat saya menyerlah di Para KL2017," katanya.

Abu Bakar yang mencecah usia 50 tahun ini mempunyai pencapaian yang membanggakan antaranya pemenang pingat emas kategori beregu di Sukan Para Asia Guangzhou 2010 dan pingat emas acara yang sama di Sukan Para ASEAN Surakarta 2011.

Sukan tenpin boling akan membuka tirai dengan kategori individu pada 19 September dan akan berakhir dengan kategori berpasukan berempat pada 22 September yang juga kategori baharu yang diperkenalkan pada edisi kali ini.

Penyokong tempatan boleh memberi sokongan kepada atlet tenpin boling para kebangsaan di Sunway Pyramid yang menjadi venue pertandingan bagi sukan itu. - BERNAMA

275 dibaca
Berita Harian X