Rabu, 6 September 2017 | 2:51pm
ATLET boling Para negara, Abu Bakar Nyat (kanan) dan Mohammad Amin pada sidang media Program Kita Juara Para Asean di kem fasa akhir Hotel Seri Pasific. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Amin idam emas buat isteri, anak

KUALA LUMPUR: Penampilan kali pertama di Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) mahu dimanfaatkan sepenuhnya pemain boling negara, Muhamad Amin Abd Rashid ketika berpeluang tampil beraksi di laman sendiri.

Atlet dari Kedah ini, yang beraksi dalam kategori TPB10 (kecacatan tangan) menjelaskan, meskipun dia adalah muka baharu namun peluangnya menghadiahkan emas buat negara tetap ada.

Bagi atlet berusia 29 tahun ini, kemenangan di hadapan penyokong sendiri cukup bermakna kerana pada masa sama, dia berhasrat menghadiahkan pingat emas buat isteri, Nur Hidayah Sulaiman serta anak, Nur Rania Arissa.

"Ini adalah pertama kali saya menyertai temasya berprestij ini dan secara peribadi saya menyasarkan pingat emas.

"Saya nampak peluang yang cerah dengan adanya peningkatan dalam corak permainan saya. Ini kerana saya pernah bersaing dalam beberapa kejohanan di luar sebelum ini," kata Amin pada sidang media Program Kita Juara 2017 Sukan Para Asean di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Sementara itu, atlet senior negara, Abu Bakar Nyat, 50, yang sudah memiliki pelbagai koleksi pingat di pentas antarabangsa menegaskan dia mahu terus melakar pencapaian terbaik buat dirinya.

Di sebalik keyakinan tinggi untuk memenangi empat emas, Abu Bakar akur saingan sengit bakal menantinya terutama sekali dari atlet Malaysia sendiri dalam kategori TPB9 (kecacatan anggota kaki).

"Saya yakin dapat membantu negara memenangi emas kerana secara peribadi, saya sendiri mengidamkan empat emas menerusi acara perseorangan, beregu, trio dan berpasukan.

"Saya harap saudara, rakan dan rakyat Malaysia dapat mendoakan kami untuk temasya ini," katanya yang memenangi satu emas dan satu perak di temasya sama di Singapura - acara beregu dan perseorangan TPB9.

Untuk rekod di Singapura, Malaysia menamatkan saingan selaku juara dengan kutipan lapan emas, tujuh perak dan empat gangsa. Kali ini Malaysia mensasarkan untuk memenangi 13 pingat emas.

228 dibaca
Berita Harian X