Isnin, 4 September 2017 | 5:27pm
Temubual Chief De Mission Kontinjen Para Malaysia, Laksamana Pertama Datuk Subramaniam Raman. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: 4 lubuk emas jadi sasaran

KUALA LUMPUR: Empat jenis sukan sudah dikenal pasti mampu menjadi 'lubuk emas' buat skuad Paralimpik negara dalam misi merealisasikan sasaran meraih 103 pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017).

Jelas ketua kontinjen negara, Datuk Subramaniam Raman, empat jenis sukan itu adalah olahraga, renang, boling dan berbasikal, dan beliau yakin empat sukan terbabit mampu menyumbang 75 peratus pingat daripada sasaran 103 pingat yang diletakkan buat kontinjen negara pada temasya ini.

"Kekuatan kita adalah daripada empat jenis sukan ini terutama selepas mengambil kira faktor empat sukan ini mempertandingkan lebih 80 acara, jadi peluang untuk meraih pingat emas sememangnya tinggi.

"Malah, saya tidak ragu-ragu bahawa kita mampu menggandakan jumlah kutipan pingat emas berbanding temasya dua tahun lalu memandangkan kita menyertai lebih banyak acara kali ini.

"Jika kita berjaya menepati sasaran 103 emas, sudah tentu kita boleh dinobatkan selaku juara keseluruhan kerana kutipan pingat itu menghampiri satu pertiga daripada jumlah keseluruhan 368 pingat emas yang dipertandingkan," katanya ketika sidang media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, hari ini.

Malaysia muncul selaku kontinjen terbesar selepas membariskan 331 atlet dan 169 pegawai yang menyaksikan 1,452 atlet daripada 11 negara mengesahkan penyertaan untuk bertanding dalam 16 sukan membabitkan 368 acara pada temasya edisi kesembilan ini.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam turut mengesahkan mereka tidak akan memberikan pek makanan berbungkus kepada atlet bagi mengelak kejadian keracunan makanan yang dihadapi atlet Sukan SEA 2017 (KL2017) sebelum ini berulang.

"Kita tidak mahu perkara sama berlaku yang mana ia akan menjejaskan persembahan atlet kita, jadi kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak membekalkan pek makanan berbungkus kepada atlet.

"Namun, kami akan cuba membekalkan makanan kepada atlet menggunakan beberapa pendekatan yang lebih baik, contohnya menyediakan makanan di sekitar tempat venue bagi meminimumkan risiko atlet menerima makanan yang sudah tercemar," katanya.

Pada temasya KL2017, seramai 16 atlet negara berdepan masalah keracunan makanan yang menyaksikan beberapa atlet gagal memperagakan persembahan terbaik sehingga ada atlet yang terpaksa menarik diri daripada bertanding.

Jumlah atlet

MALAYSIA 331 atlet

Thailand 291 atlet

Indonesia 192 atlet

Vietnam 150 atlet

Myanmar 120 atlet

Filipina 115 atlet

Singapura 92 atlet

Kemboja 70 atlet

Laos 50 atlet

Brunei 27 atlet

Timor Leste 14 atlet

333 dibaca
Berita Harian X