Ahad, 3 September 2017 | 8:29pm

KL2017: Atlet para negara masuk kem pusat

KUALA LUMPUR: Seramai 326 atlet para mula mendaftar di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur hari ini, sempena Kem Pusat Latihan Akhir Sukan Para ASEAN ke-9.

Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Mohd Safrushahar Yusoff berkata kem itu dijadual berjalan selama 10 hari bagi mengumpulkan semua atlet yang bersaing di temasya itu kali ini.

"Kem ini dinamakan Kem Pusat Latihan Akhir untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Para ASEAN yang bermula pada 17 September ini.

"Kita kumpulkan mereka untuk 16 jenis sukan dipertandingkan di satu tempat kerana ramai datang daripada negeri berbeza dan turut akan diadakan slot motivasi kepada atlet, seperti Sukan SEA Kuala Lumpur 2017," kata Mohd Safrushahar.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan bagi temasya Para ASEAN dengan harapan mampu membawa pulang 103 pingat emas.

Mengulas lanjut, Mohd Safrushahar berkata antara sukan yang dijangka mampu menjadi penyumbang pingat di temasya kali ini adalah dari sukan olahraga, berbasikal, boling serta renang.

Olahraga sudah pasti menjadi sandaran utama buat kontinjen paralimpik negara untuk menghadirkan kejayaan, terutamanya dengan kehadiran tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi acara lontar peluru F20, Mohamad Ridzuan Puzi (100 meter T36), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan pemenang gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20).

Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah jenama Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9, menyaksikan Sukan Para ASEAN akan bermula pada 17 hingga 23 September ini.

Ketika di Singapura 2015, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan kutipan 52 pingat emas, 58 perak dan 37 gangsa, menjadikan sebanyak 147 pingat berjaya dibawa pulang.

Ketika itu Thailand bergelar juara keseluruhan dengan 95 emas, 76 perak dan 79 gangsa daripada 10 buah negara yang mengambil bahagian.

485 dibaca
Berita Harian X