Khamis, 31 Ogos 2017 | 1:12am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan Malaysia juara keseluruhan ketika majlis penutup Sukan SEA KL 2017 dan ambang Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KL2017: PM anggap juara umpama mimpi jadi kenyataan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) umpama mimpi menjadi kenyataan.

Jelas Perdana Menteri, negara bukan saja meraikan dua kejayaan, sebaliknya tiga kejayaan yang cukup bermakna.

"Ada orang kata sambutan ini membawa dua kegembiraan, iaitu pertama Malaysia menjadi hos temasya Sukan SEA ke-29 dan kedua kita menyambut sambutan ke-60 tahun kemerdekaan.

"Tetapi sebenarnya bukan kejayaan berganda, tetapi tiga kejayaan, kerana apa?... kerana Malaysia dijulang sebagai juara keseluruhan Sukan SEA dengan meraih 145 pingat emas daripada 404 yang dipertandingkan," katanya ketika berucap pada majlis penutup KL2017 serta Ambang Kemerdekaan Ke-60 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.


DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK bersama Timbalan Perdana Menteri dan Sukarelawan ketika majlis penutup Sukan SEA KL 2017 dan ambang Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Jelas Perdana Menteri, jumlah itu adalah 35.9 peratus daripada kesemua pingat emas yang dipertandingkan, sekali gus menjadikan Sukan SEA kali ini paling berjaya untuk Malaysia.

Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menjadi arkitek kepada kejayaan penganjuran temasya kali ini.


SEKITAR suasana di dalam Stadium pada Majlis Penutupan Sukan SEA Kuala Lumpuer 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak termasuk persatuan sukan kebangsaan dan barisan atlet negara yang mempamerkan pencapaian cemerlang itu.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana memberi sokongan dan sorakan tidak kira ketika panas atau hujan," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan 4 September sebagai cuti umum sempena kejayaan kontinjen negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA.

1320 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »