Rabu, 30 Ogos 2017 | 10:23pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengibarkan bendera SEA Games sebelum diserahkan kepada Filipina ketika majlis perasmian penutupan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah

KL2017: Syabas Malaysia!

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar merumuskan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang melabuhkan tirainya sebentar tadi, sebagai temasya hebat dan paling diingati.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) di atas kelancaran edisi ke-29 ini, Tunku Imran jelas berpuas hati dengan pencapaian kontinjen Malaysia berjaya mengutip 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.


PERCIKKAN bunga api berbentuk wau menghiasi diruang udara sempena majlis penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Aziah Azmee

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Malaysia kerana berjaya menganjurkan sebuah temasya yang akan diingati," kata Tunku Imran.

"Tiada apa yang sempurna di dunia ini, tetapi anda berjaya mengatasi beberapa masalah sepanjang perjalanan untuk menghasilkan keputusan yang boleh dibanggakan."

Pungutan pingat itu membolehkan Malaysia bergelar juara keseluruhan daripada 11 negara yang mengambil bahagian dan 145 emas itu membolehkan kontinjen negara melepasi sasaran 111 pingat emas.


PERSEMBAHAN kebudayaan di Majlis Penutup Sukan SEA KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Muhaizan Yahya

Sebelum ini, pungutan pingat terbaik negara ialah ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah edisi 2001 dengan 111 pingat emas, tetapi dengan pencapaian dan penguasaan luar biasa beberapa acara sukan dalam kalendar Olimpik seperti basikal dan terjun menjadikan pencapaian kali ini lebih gemilang.

"Kita menjadi saksi kepada persembahan hebat atlet daripada 11 negara Asia Tenggara membabitkan 404 acara dan 38 jenis sukan. Dan untuk atlet yang gagal memenangi pingat, kami tahu anda sudah memberikan yang terbaik.

"Syabas kepada kontinjen Malaysia yang berjaya muncul juara keseluruhan dan juga kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang bertungkus lumus dalam menyediakan kontinjen."

4653 dibaca
Berita Harian X