Khamis, 17 Ogos 2017 | 7:21pm
JURULATIH pasukan futsal wanita Indonesia, Andre Picessa Pratama (dua dari kanan) bersama rakan sejawat dari negara bertanding pada sidang media di Hotel Concorde Shah Alam, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Hari kemerdekaan cetus semangat kontinjen Indonesia

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-72 Indonesia hari ini, menjadi pendorong semangat bagi skuad republik itu untuk membawa pulang pingat dari temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ketua Kontinjen Muhammad Azis Syamsuddin berharap pasukan negaranya akan berjuang sebaik mungkin dalam setiap acara untuk membawa pulang 'hadiah' atas sokongan seluruh rakyatnya kepada atlet yang menyertai edisi ke-29 sukan serantau ini.

"(Sempena) hari kemerdekaan ke-72, semoga dalam Sukan SEA ini dapat menghasilkan hasil terbaik bagi bangsa... (lagi-lagi) dengan terdengar kumandangnya lagu kebangsaan Indonesia apabila menang," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Selain itu, beliau yang mengetuai 948 anggota kontinjen itu turut melahirkan harapan tinggi supaya temasya dwitahunan itu yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah buat kali keenam, menjadi momentum terbaik bagi mengekalkan hubungan dua hala kedua-dua negara yang sudah lama terjalin.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih skuad futsal wanita republik itu, Andre Picessa Pratama berkata semua pemain berjanji untuk memberikan komitmen '1,000 peratus' walaupun persediaan hanya dibuat dalam tempoh tiga bulan.

Menyifatkan hari kemerdekaan negara itu sebagai 'pencetus semangat', beliau berkata sekiranya skuad bimbingannya dapat menyumbang pingat buat Indonesia, ia adalah kejutan paling bermakna kerana pasukan itu belum pernah meraih sebarang pingat sejak menyertai temasya dwitahunan berkenaan.

"Setiap pasukan pasti mahu meraih pingat emas termasuk kami, namun disebabkan saingan agak hebat, kami tetap akan cuba yang terbaik untuk bawa pulang apa-apa pingat.

"Ia pasti akan menjadi sejarah bermakna dalam mengharumkan nama Indonesia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini," katanya selepas mesyuarat praperlawanan acara itu di Shah Alam.

Skuad futsal Indonesia akan menentang Malaysia dalam perlawanan sulung mereka Ahad ini.

Ketua jurulatih skuad futsal lelaki, Yori van der Torren pula berkata kesemua anak buahnya akan menjadikan sambutan kemerdekaan itu sebagai motivasi tambahan apabila memulakan kempen Sukan SEA dengan menentang juara bertahan Thailand, Ahad ini.

Selain Indonesia dan Thailand, tiga negara lain yang turut mengambil bahagian dalam acara itu adalah tuan rumah Malaysia, Vietnam dan Myanmar.

Acara futsal KL2017 berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, bermula esok sehingga 27 Ogos ini. - BERNAMA

213 dibaca
Berita Harian X