Ahad, 13 Ogos 2017 | 12:44pm
SKUAD gimrama ketika menjalani latihan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Osman Adnan

Pakaian gimnas negara bakal curi perhatian

KUALA LUMPUR: Selain pergerakan badan bersama alunan muzik yang memukau perhatian penonton di gelanggang, pakaian skuad gimnastik berirama (gimrama) yang berkilauan turut mampu mencuri perhatian.

Justeru itu, pasukan gimrama negara akan tampil bergaya dengan pakaian yang bernilai antara RM3,000 hingga RM4,000 sehelai pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sewaktu saingan acara itu.

Timbalan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, Petrina Low berkata pakaian yang cantik bersinar dengan anyaman batu perhiasan direka khas untuk KL2017 oleh pereka dan tukang jahit Malaysia, bakal membangkitkan lagi semangat di gelanggang acara gimrama.

"Sebenarnya batu perhiasan di setiap helai baju gimrama yang mahal, menjadikan ia lebih cantik apabila dipersembahkan di gelanggang nanti. Harga asal baju tanpa batu perhiasan hanya RM450," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Low berkata warna setiap pakaian bagi semua atlet negara yang akan berentap harus bersesuaian dengan alat dan muzik yang digunakan untuk membantu persembahan atlet.

"Jika muzik yang digunakan adalah muzik Sepanyol, maka pakaian tersebut harus sesuai dengan muzik Sepanyol," katanya.

Beliau turut menjelaskan semua pakaian yang dipakai oleh enam atlet negara dalam acara berpasukan dan empat bagi acara individu di gelanggang adalah pilihan tiga jurulatih kebangsaan mengikut personaliti seseorang atlet.

Mengulas mengenai persediaan, Low berkata, fasiliti venue di MITEC yang baharu itu meningkatkan lagi semangat sekali gus membolehkan skuad negara bersedia dengan lebih awal sebelum aksi Sukan SEA.

Skuad gimnastik berirama negara mensasarkan untuk meraih enam daripada lapan pingat emas yang ditawarkan dalam pertandingan yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos di MITEC.

Untuk rekod, skuad gimrama negara berjaya membawa pulang dua pingat emas dan satu perak pada Sukan SEA 2015 di Singapura. - BERNAMA

30997 dibaca
Berita Harian X