Selasa, 8 Ogos 2017 | 9:15pm
PENGURUS olahraga Sukan SEA, Datuk Salim Parlan. - Foto Owee Ah Chun

Komalam digugurkan kerana masalah disiplin: KOM

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kompromi bagi mana-mana atlet yang mempunyai masalah disiplin menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) - dan terbukti apabila atlet pecut, S Komalam Shally menjadi atlet pertama digugurkan dari skuad olahraga kerana masalah itu.

Biarpun temasya Sukan SEA hanya berbaki 10 hari, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan Komalam daripada skuad kebangsaan.

Perkara itu disahkan oleh Pengurus Pasukan Olahraga Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Salim Parlan selepas menghadiri sesi pendengaran bersama jawatankuasa bebas yang diketuai oleh Naib Pengerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

"Pengguguran Komalam dibuat atas rentetan beberapa peristiwa yang disebabkan oleh disiplin atlet itu. Nasihat, peringatan, ulangan dan amaran sudah diberi. Tapi perkara ini terus berulang.

"Jadi KOM perlu buat keputusan dan saya sendiri yang mencadangkan kepada KOM untuk menggugurkan Komalam selepas berbincang dengan jurulatih yang bertanggungjawab.

"Demi keharmonian pasukan, perkara ini perlu dilakukan kerana detik terakhir ini boleh mengganggu persediaan pasukan. Keputusan untuk menggugurkan Komalam perlu dilakukan," katanya.

Komalan digugurkan daripada pasukan pada 4 Ogos dan membuat rayuan sehari selepas itu. Bagaimanapun, Salim menegaskan KOM tetap dengan keputusan untuk menolak rayuan atlet berkenaan.

Pengguguran itu bermakna hanya Zaidatul Husniah Zulkifli akan beraksi dalam acara 200m dengan tempat Komalam dalam acara 4x100m akan ditentukan kelak.

Bagaimanapun, Salim menegaskan ketiadaan Komalam tidak menjejaskan sasaran pingat negara kerana dia tidak diletakkan dalam senarai atlet yang mampu menyumbang emas.

Catatan terbaik atlet berusia 29 tahun itu dalam acara 100m adalah 11.76saat yang dilakukan tahun lalu.

Dia turut berada dalam kuartet 4x100m yang memegang rekod kebangsaan 45.18s bersama-sama Zaidatul Husniah, Siti Fatimah Mohamad dan Nurul Faizah Asma Mazlan ketika Kejohanan Trek dan Padang Asia di India, bulan lalu.

3915 dibaca
Berita Harian X