Sabtu, 29 Julai 2017 | 11:13pm
JURULATIH paralimpik Malaysia, R Jeganathan. - Foto Owee Ah Chun

Para ASEAN 2017: Skuad negara sasar 50 emas

KUALA LUMPUR: Skuad paralimpik Malaysia meletakkan sasaran untuk menang maksimum 50 pingat emas di Sukan Para ASEAN 2017, yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, September depan.

Justeru, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengenal pasti kira-kira 80 atlet paralimpik yang bakal mewakili negara ke kejohanan yang berlangsung pada 17 hingga 23 September nanti.

Jurulatih paralimpik Malaysia, R Jeganathan, berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan tahap disiplin dan prestasi atlet paralimpik terbabit.

Beliau juga sentiasa berhubung dengan semua jurulatih di peringkat negeri bagi memantau prestasi dan kemajuan setiap atlet supaya mereka berada di tahap terbaik.

"Ini perlu kerana kita menyasarkan untuk menang antara 45 dan 50 pingat emas, berbanding hanya 28 pingat emas di temasya sama di Singapura, dua tahun lalu.

"Kita juga berharap usaha ini dapat memecahkan dominasi atlet dari Thailand dan Indonesia yang selama ini menguasai Sukan Para ASEAN terutama dalam acara olahraga," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Jeganathan berkata, pihaknya juga meletakkan harapan tinggi untuk melihat Mohd Ridzuan Mohd Puzi, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli bukan hanya dapat meraih pingat emas, malah mengatasi catatan rekod yang dipegang oleh mereka.

Jeganathan berkata, pihaknya juga sudah menyusun pelbagai strategi bagi mencapai sasaran pingat itu.

"Sebagai contoh, kita mungkin minta Mohd Ridzuan bertanding dalam tiga acara (termasuk 100m kategori T36), manakala Abdul Latif mungkin sertai dua acara berlainan bagi membolehkan Malaysia menang lebih banyak pingat," katanya.

Selain itu, Jeganathan juga yakin Abdul Latif dan Ziyad Zolkefli, bukan hanya boleh memberi saingan kepada atlet normal, malah mampu menang emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), bulan depan.

440 dibaca
Berita Harian X