Rabu, 19 Julai 2017 | 7:08pm
ATLET olahraga negara, dari kiri Nixson Kennedy, Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa pada sidang media Program Kita Juara 2017 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

The Speedy Jantan idam tiga emas di KL2017

KUALA LUMPUR: Raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan tidak bimbang dengan saingan yang bakal diberikan oleh barisan jaguh pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan depan.

Sebaliknya, atlet kelahiran Melaka itu optimis mampu menggegar temasya terbesar Asia Tenggara itu dengan membantu kontinjen negara meraih tiga pingat emas iaitu 100 meter (m), 200m dan 4x100m.

Di atas kertas, rekod peribadi 'The Speedy Jantan' dilihat mampu menghadiahkan emas dalam acara 100m apabila catatan masanya 10.18 saat (s) mengatasi kepantasan juara bertahan 100m iaitu 10.25s milik Eric Cray dari Filipina yang dilakar di Sukan SEA Singapura 2015.

Dalam acara 200m pula, Khairul Hafiz memiliki kepantasan 20.90s dan hanya kekurangan 0.01s untuk mengejar catatan emas 20.89s milik Le Trong Hinh dari Vietnam yang dinobatkan selaku pemenang emas acara itu dua tahun lalu.

"Apa yang saya nampak, saingan hebat mungkin diberikan Eric dalam acara pecut 100m yang menjadi juara dua tahun lalu manakala 200m pula Trong Hinh (Vietnam) dan Jirapong (Meenapra) dari Thailand.

"Kalau saya menjadi tumpuan sekali pun, ini akan memberi petunjuk terbaik untuk Sukan SEA dan saya akan lakukan yang terbaik serta ikut arahan jurulatih.

"Tidak semestinya jika pesaing saya berlari laju, saya akan takut kerana saya sudah melakukan latihan dan jurulatih juga turut berikan keyakinan untuk saya berlari dengan lebih baik," kata Khairul Hafiz ketika ditemui pada sidang media Program Kita Juara 2017 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Mengulas lanjut, atlet 19 tahun itu berkata, dia masih belum mencapai kemuncak prestasi ketika memecahkan rekod kebangsaan acara 200m di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

"Jurulatih ada memaklumkan kepada saya, biarpun saya sudah mencatatkan 20.90s, kemungkinan saya boleh buat larian lebih pantas kerana usia masih muda.

"Namun, malam tadi mungkin belum kemuncak prestasi saya lagi kerana sasaran sebenar adalah KL2017.

"Saya akan berikan yang terbaik dan Insya-Allah saya akan buat lebih lagi di KL2017 kerana saingan sengit serta beraksi di laman sendiri," katanya yang gembira dapat merasai trek baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum KL2017.

Pemegang rekod kebangsaan pecut 100m itu berkata dia akan menggalas cabaran dengan penuh semangat dan berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya serta pasukan olahraga negara.

Berita Harian X