Sabtu, 15 September 2018 | 12:28am
Pep Guardiola (kanan) menggesa Raheem Sterling menandatangani kontrak baharu bersama Manchester City.

Guardiola mahu Sterling noktah teka-teki

MANCHESTER: Pep Guardiola menggesa Raheem Sterling untuk mengakhiri perbincangan panjangnya dengan Manchester City dan menandatangani kontrak baharu bersama juara Inggeris itu.

Penyerang England itu dijangka disenarai City bagi aksi bertemu Fulham, esok selepas tidak disenaraikan Three Lions ketika menentang Sepanyol dan Switzerland pada aksi antarabangsa susulan kecederaan belakang.

Sterling dan City menghabiskan sepanjang musim lalu berbincang mengenai kontrak lanjutan tetapi ia terhenti berikutan Piala Dunia 2018 dengan perjanjian asal berakhir pada 2020.

Pemain berusia 23 tahun itu berharap prestasi baiknya di Russia meningkatkan ‘nilainya’ tetapi kegagalannya meledak sebarang gol ketika England mara ke kelompok empat terbaik menyaksikan perbincangan itu sekali lagi tertangguh,

“Semua mengetahui yang kami gembira dengan prestasinya dan kami mahu meneruskannya,” kata Guardiola.

“Kelab bertanyakan pendapat saya dan kami berkongsi pandangan kami dan selepas itu, ia membabitkan kelab dan ejennya. Saya tidak terbabit.

“Kadang kala perkara seperti ini memerlukan sedikit masa. Tetapi adalah penting yang Raheem dan ejennya tahu kami gembira dengannya.”

Laporan media berkata bekas penyerang Liverpool itu, yang ketika ini menerima bayaran £175,000 (RM947,260) seminggu meminta kenaikan sebanyak £100,000 (RM541,290) seminggu.

Jika ia berhasil, gaji yang diterima Sterling hanya kurang sedikit berbanding penerima gaji tertinggi di City, Kevin De Bruyne. - AFP

776 dibaca
Berita Harian X