Jumaat, 14 September 2018 | 11:58pm
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Datuk Kamel Mohamad (tiga kanan) menyampaikan piala Sumbangsih kepada Pemain UITM selepas dinobatkan juara pada Perlawanan UITM menentang UPM saingan Sumbangsih Liga Bola sepak IPT Musim 2018/2019 di Stadium Universiti Teknologi MARA (UITM). - Foto Aswadi Alias

UiTM juara Piala Sumbangsih Liga IPT

SHAH ALAM: Pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkul piala sumbangsih Liga Bolasepak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Universiti Putra Malaysia (UPM), sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam itu, permainan rancak dipamerkan kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan sebaik perlawanan bermula.

Namun, kegagalan jentera serangan pasukan masing-masing menyudahkan beberapa peluang terhidang menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Malam gemilang UiTM bermula pada minit ke-70 apabila Izzul Danish Fadzil meledak gol pembukaan selepas sepakan percuma menariknya berjaya memerangkap penjaga gol UPM, Mohd Zulasyran Jamaluddin.


Pemain UITM meraikan kemenangan selepas dinobatkan juara pada Perlawanan UITM menentang UPM saingan Sumbangsih Liga Bola sepak IPT Musim 2018/2019 di Stadium Universiti Teknologi MARA (UITM). - Foto Aswadi Alias

Selang 13 minit kemudian, kedudukan UiTM semakin selesa apabila pertahanan UPM, M Saravanan tertampan bola ke gawang sendiri.

Muhammad Fahmi Mohd Sabri kemudian mengesahkan kemenangan bergaya UiTM apabila rembatan derasnya pada minit ke-88 berjaya menewaskan Zulasyran buat kali ketiga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Kamel Mohamad.

243 dibaca
Berita Harian X