Jumaat, 14 September 2018 | 4:46pm
Ruben Loftus-Cheek. - Foto Reuters

Kante yakin Loftus-Cheek mampu menyerlah

LONDON: N'Golo Kante menegaskan, pemain tengah, Ruben Loftus-Cheek memiliki kualiti untuk beraksi secara tetap dalam skuad Chelsea, namun mesti meningkatkan prestasi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bagi saingan Liga Perdana Inggeris.

Musim lalu, Loftus-Cheek beraksi secara pinjaman bersama Crystal Palace dan dipanggil menyertai skuad kebangsaan England untuk skuad Piala Dunia.

Pemain berusia 22 tahun ini kembali ke Stamford Bridge pada musim ini dan dilihat cuba memecah dominasi pemain bintang yang menjadi pilihan pengurus, Maurizio Sarri.

“Ketika saya tiba di sini, Ruben sudah bersama pasukan dan sudah pasti dia adalah seorang pemain yang bagus. Kini, dia bersama skuad England. Dia cukup bagus pada musim lalu bersama Crystal Palace dan saya rasa dia cukup bersedia untuk merebut tempat pada musim ini,” kata Kante yang menjulang Piala Dunia bersama Perancis, kepada Sky Sports.

“Dia beraksi dengan baik dan kini bergantung kepada keputusan pengurus...dia perlu kekalkan kerja kuat, buktikan kemampuan dan saya harap semua itu akan hadir tepat pada masanya.

Setakat ini, Loftus-Cheek hanya beraksi 30 minit selepas dua kali dimasukkan sebagai pemain simpanan sepanjang musim ini.

Kante, yang pernah beraksi dalam liga kedua di Perancis pada 2014 dan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris bersama Leicester City dan Chelsea berkata, dia cukup memahami situasi pemain muda yang bergelut meraih tempat dalam skuad utama.

“Semua pemain pernah menempuh detik itu dalam karier mereka, tetapi perlu menggunakan semua pengalaman itu untuk membina karier dan belajar daripadanya,” kata Kante.

“Saya perlu menempuhnya ketika di usia muda dan kini, saya tidak boleh katakan saya memang layak...paling penting, gunakannya untuk sentiasa perbaiki pencapaian diri,”

Chelsea, yang membuat penampilan sempurna pada musim ini bakal berdepan Cardiff City, esok. - Reuters.

394 dibaca
Berita Harian X