Khamis, 17 Mei 2018 | 8:37pm
SANDRO WAGNER

Wagner umum persaraan

BERLIN: Penyerang Bayern Munich yang terkenal dengan kelantangannya, Sandro Wagner mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa selepas namanya tidak disenaraikan Jerman untuk ke Piala Dunia.

"Saya dengan ini mengambil keputusan untuk bersara serta merta di peringkat antarabangsa," kata Wagner kepada akhbar harian Jerman, Bild.

"Bagi saya, jelas menunjukkan bahawa sikap saya yang terbuka, jujur serta berterus terang, tidak selari dengan kehendak pasukan kebangsaan."

Pemain berusia 30 tahun itu dilihat tidak sebulu dengan jurulatih kebangsaan, Joachim Loew yang mengetepikannya daripada senarai 27 pemain seperti yang diumumkan Selasa lalu, bagi menghadapi Piala Dunia bulan depan. Loew sebaliknya memilih penyerang, Timo Werner, Mario Gomez dan Nils Petersen.

Wagner yang tampil buat kali pertama pada 2017 membantu Jerman memenangi Piala Konfederasi di Russia, Julai tahun lalu dan menjaringkan lima gol sepanjang lapan penampilan antarabangsa.

"Bohong kalau saya katakan bahawa saya tidak kecewa kerana Piala Dunia adalah kejohanan yang diimpikan semua pemain," kata Wagner.

"Pada masa sama, saya juga tidak boleh terlalu serius dengan Piala Dunia kerana seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, banyak perkara lain yang lebih penting berbanding bola sepak."

Ketiadaan Wagner boleh dianggap sesuatu yang mengejutkan apatah lagi dia cukup menyinar di Bayern sejak menyertai kelab itu pada Januari.

Jerman akan membuka kempen Piala Dunia menentang Mexico di Moscow pada 17 Jun sebelum bertemu Korea Selatan dan Sweden di dalam Kumpulan F. - AFP

1326 dibaca
Berita Harian X