Ahad, 4 March 2018 | 1:09pm
PEMAIN Shahzan Muda, Mohd Faizal Abdul Rani (kiri) berjaya mengatasi pertahanan PKNP FC, Muhammad Mohd Safar untuk jaringkan gol pada perlawanan Piala FA di Stadium Temerloh, semalam. - Foto BERNAMA

Shahzan Muda kempunan kejutkan PKNP

 

KUANTAN: Pengendali Shahzan Muda, Tajuddin Nor tetap berbangga dengan komitmen tinggi yang dipersembahkan anak buahnya biarpun tewas 2-1 di tangan PKNP FC pada pusingan kedua Piala FA, semalam.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemampuan skuadnya memberi tekanan kepada lawan dari Liga Super itu perlu dipuji dan cukup membanggakan.

"Saya memuji persembahan keseluruhan pasukan kerana mereka tidak mengenal erti putus asa terutama memberi saingan kepada lawan," kata Tajuddin.

"Biarpun ketinggalan 2-0 tetapi dengan semangat juang tinggi, satu gol berjaya dijaringkan untuk terus memberi tekanan kepada lawan.

"Saya berterima kasih kepada pemain yang bekerja keras untuk memastikan Shahzan Muda masih mampu mencabar lawan yang dibarisi pemain berpengalaman termasuk import."

Tajuddin berkata, perlawanan seimbang yang dipersembahkan skuadnya itu juga diyakini membantu untuk meningkatkan kualiti permainan dalam saingan Liga FAM musim ini.

Pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh semalam, dua gol PKNP FC dijaringkan pemain import, Yeon Gi Sung pada minit ke-37 dan 59 manakala gol tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Faizal Abd Rani (m-75).

484 dibaca
Berita Harian X