Rabu, 14 Februari 2018 | 1:05pm
PEMAIN Shahzan Muda, Mohd Firdaus Anuar (dua dari kiri) diasak pemain Selangor PIB FC, Muhammad Nor Hakim (kanan) pada saingan Piala FA di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi. - Foto BERNAMA

Shahzan Muda ada motivasi jumpa PKNP

KUANTAN: Kelab Shahzan Muda perlu tampil lebih mantap apabila berdepan PKNP FC pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, pada 3 Mac ini. 

Jurulatih pasukan, Tajuddin Nor berkata, kejayaan mara ke pusingan kedua piala itu selepas menewaskan Selangor PIB FC 3-0 malam tadi, memberi motivasi terbaik kepada pemainnya. 

Katanya, persembahan mantap yang dipamerkan pemain membuktikan komitmen tinggi walaupun ia adalah permulaan buat pasukan Shahzan Muda dalam saingan Liga Malaysia musim ini. 

"Namun, semua pemain perlu sedar bahawa cabaran besar bakal menanti mereka kerana bertemu PKNP yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini. 

"Sudah pasti lawan akan beraksi dengan lebih baik terutama dengan kehadiran pemain import. Tapi saya percaya pemain Shahzan Muda mampu memberi tentangan. 

"Kehadiran pemain import dalam PKNP juga akan mematangkan pemain terutama memberi motivasi apabila bersaing dalam Liga Piala FAM musim ini," katanya. 

Mengulas kemenangan 3-0 skuad The Penguins ke atas Selangor PIB FC pada pusingan pertama Piala FA malam tadi, Tajuddin gembira kerana pemain bijak memanfaatkan peluang yang dimiliki. 

Katanya, segala-galanya dilihat begitu meyakinkan kerana jentera serangan, tengah dan pertahanan membentuk persefahaman mantap terutama pada baka kedua perlawanan. 

"Kemenangan ini juga menebus kehampaan apabila tewas kepada Sime Darby FC pada pusingan pertama musim lalu," katanya. 

Tiga gol skuad The Dolphins, masing-masing dua dijaringkan Mohd Faizal Rani pada minit ke-55 dan 90 manakala satu gol lagi oleh Mohd Firdaus Anuar (minit ke-85)

577 dibaca
Berita Harian X