Selasa, 13 Februari 2018 | 9:06pm
PEMAIN Sarawak meraikan jaringan kedua Mateo Roskam (tiga dari kanan) pada aksi bola sepak Liga Perdanadi Stadium Negeri Kuching. - Foto Jannah Kho

Pemain perlu profesional - Wahab

KUALA LUMPUR: Pemain pasukan Sarawak yang terpalit dengan tuduhan mengatur perlawanan perlu kekal profesional dan seharusnya bertekad untuk bangkit bagi memperagakan persembahan lebih baik pada perlawanan akan datang.

Justeru, pengurus pasukan, Wahab Abd Rahim mengharapkan anak buahnya supaya tidak terganggu dengan dakwaan terbabit sebaliknya meneruskan komitmen memandangkan masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan susulan perjalanan liga yang masih panjang.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut memandangkan isu ini sedang hangat diperkatakan cuma saya memohon agar pemain Sarawak kekal profesional dan teruskan berjuang demi negeri Sarawak.

"Saya dimaklumkan siasatan sedang dijalankan jadi biar pihak yang memiliki kuasa melakukan kerja mereka dan kita jalankan kerja kita sebagai pemain bola sepak negeri Sarawak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sumber dalaman Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mengesahkan pihaknya sudah melakukan siasatan susulan timbul laporan yang mendakwa ada pemain pasukan itu terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan.

"Buat masa ini, kami boleh mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan dan Unit Integriti FAS juga sudah meneliti beberapa laporan seperti yang dinyatakan. Apapun, siasatan masih lagi berada pada peringkat awal.

"Harus diingat banyak aspek yang perlu diteliti memandangkan tuduhan mengatur perlawanan bukanlah satu isu yang remeh. Kami perlu menyiasat dengan teliti sebelum membuat apa-apa keputusan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, FAS menerusi satu kenyataannya semalam menegaskan pihaknya memandang serius beberapa laporan yang mendakwa ada pemain Sarawak terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan yang menjadi punca kekalahan pasukan itu kepada pendatang baharu Liga Perdana, FELCRA FC.

Pada aksi Liga Perdana yang berlangsung di laman sendiri itu, Skuad Bujang Senang mensia-siakan kelebihan dua gol apabila membenarkan penyerang import FELCRA FC, Anselmo Arruda meledak hatrik dalam tempoh enam minit terakhir perlawanan sekali gus menyaksikan mereka tumbang dengan keputusan 2-3.

Selepas mengharungi tiga aksi setakat ini, skuad bimbingan Ian Andrew Gillian itu berjaya meraih satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu tewas sekali gus menghimpun empat mata untuk menghuni tangga keenam liga, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, FELDA United.

744 dibaca
Berita Harian X