Selasa, 13 Februari 2018 | 7:17pm
PEMAIN Pahang, Mohammadou Sumareh (kiri) tepis dakwaan beliau sudah dapat kerakyatan negara ini seperti yang tersebar di laman sosial sejak semalam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Sumareh nafi dapat kerakyatan

 

KUANTAN: Pemain import Pahang, Mohamadou Sumareh menepis dakwaan berhubung isu dia mendapat kerakyatan negara ini seperti yang tersebar di laman sosial sejak semalam.

Sebaliknya, pemain berasal dari Gambia itu menjelaskan bahawa perkara itu tidak benar kerana ia adalah gambar lama ketika bersama peminat.

"Ia adalah gambar lama bersama peminat dan saya nasihatkan kepada semua pihak supaya tidak percaya dengan berita itu," katanya yang menyertai skuad Tok Gajah musim lalu.

Sejak semalam, status Sumareh menjadi perhatian di laman sosial apabila dia dikatakan berada di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berikutan itu, ramai netizen menganggap pemain berumur 24 tahun itu mendapat kerakyatan Malaysia.

Musim lalu, khabar mengenai perkara sama heboh diperkatakan apatah lagi keluarga Sumareh sudah lama menetap di negara ini.

Musim ini, selain Sumareh, Pahang turut menyenaraikan empat lagi pemain import iaitu Forkey Doe dari Liberia, Chan Vathanaka (Kemboja), Alex Gomes (Brazil) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Selepas tiga perlawanan, Sumareh sudah menjaringkan satu gol ketika skuad Tok Gajah menewaskan Kelantan 3-0.

Sebelum menyertai Pahang, pemain tengah itu pernah menyarung jersi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada musim 2013 hingga 2015 dan Perlis (2016).

1947 dibaca
Berita Harian X