Selasa, 13 Februari 2018 | 7:11pm
KETUA Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim tegaskan musim masih terlalu awal untuk PKNP FC panik kerana mereka baru mengharungi tiga perlawanan. - Foto Mikail Ong

PKNP FC belum cemas

 

IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC belum menekan butang panik biarpun tumpas dua perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super setakat ini.

Sebaliknya, jurulatih Abu Bakar Fadzim menegaskan musim masih terlalu awal untuk PKNP FC panik kerana mereka baru mengharungi tiga perlawanan.

 

Kelab konglomerat itu hanya menang sekali dan tewas dua perlawanan setakat ini.

 

"Kami baru main tiga perlawanan. Malangnya kami bertemu dua lawan handalan iaitu Johor Darul Ta'zim dan Kedah," katanya.

 

Abu Bakar berkata, dalam perlawanan itu pemain PKNP FC berjaya memberi saingan selama 85 minit sebelum tumpas 0-1 kepada Kedah.

 

"Mereka mempunyai pemain berpengalaman dalam Liga Super sedangkan kami masih mentah dan baru dibentuk. Oleh itu kena beri masa dan peluang kepada pemain PKNP FC," katanya.

 

Abu Bakar berkata, empat pemain import pasukan iaitu Yeon Gisung, Keo Sokpheng, Nikolv Luben Gueorguiev dan Anzite Touadere Clovis Franklin adalah muka baru dalam Liga Malaysia dan sedang berusaha menyesuaikan diri dengan pasukan.

 

"Mereka sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat rentak dan persefahaman sepasukan," katanya.    

 

Abu Bakar mengakui jentera serangan pasukan itu masih tumpul berikutan ketiadaan kapten, Muhamad Shahrel Fikri yang hanya akan dapat beraksi semula dalam perlawanan dengan Kuala Lumpur selepas ini.

 

Begitupun, jurulatih itu tetap mampu melakar senyum apabila melihat perkembangan pemain muda, Muhammad Alif Safwan Mohd Sallahuddin.

 

"Dia memiliki potensi untuk menjadi pemain berkaliber," katanya mengenai penyerang Sekolah Sukan Malaysia Pahang di Gambang itu.

432 dibaca
Berita Harian X