Selasa, 13 Februari 2018 | 3:52pm
KIPRE (kiri) ledak empat gol. FOTO/FAIL

Rufino, Kipre paling berbisa

Oleh Syafiq Aznan

syafiq.aznan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, saingan Liga Super musim ini menyaksikan penyerang import sekali lagi dilihat lebih menyerlah meskipun baharu sahaja memasuki perlawanan ketiga setakat ini.

Menerusi statisik dari Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), penyerang import Selangor, Rufino Segovia dan 'awang'  import Terengganu, Tchetche Kipre berkongsi kedudukan pendahulu penjaring terbanyak apabila masing-masing meledak empat gol dalam tiga perlawanan yang diharungi.

Bagaimanapun, Kipre yang berasal dari Ivory Coast disifatkan lebih konsisten apabila meledak gol dalam setiap perlawanan dengan dua dijaringkan pada aksi pertama bertemu PKNS FC, satu ketika menentang Kelantan dan satu lagi gol ketika membenam Selangor 4-1.

Mengikuti rapat dua penggempur itu adalah penjaring terbanyak Liga Singapura untuk dua musim yang beraksi bersama PKNS FC, Rafael Ramazotti selepas dia mencetak tiga gol dan juga penyerang import Melaka United (MU) dari Belarus, Yahor Zubovich yang turut meledak tiga gol.


RUFINO (kiri) menyerlah bersama Merah Kuning. FOTO/FAIL

Bagaimanapun, pemain muda Selangor, Syahmi Safari muncul selaku pemain tempatan paling berbisa dengan dua gol dalam dua penampilan yang menyaksikan dua jaringannya dihasilkan ketika The Red Giants membenam Melaka United 4-1 pada aksi kedua di laman sendiri.

Tiada lagi jaringan sendiri dapat disaksikan setakat ini dan 45 gol dapat dijaringkan oleh semua 12 pasukan Liga Super secara keseluruhan dalam tiga pusingan Liga Super setakat ini.

Mengulas prestasi semasa pasukan, hanya dua pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super selepas tiga perlawanan setakat ini iaitu PKNS FC dan juga Terengganu.

Skuad 'Semut Merah' di bawah bimbingan bekas pengendali kebangsaan, Datuk K Rajagobal mengungguli persada liga selepas meraih dua kemenangan dan satu seri untuk menghimpun tujuh mata.

Terengganu yang juga pendatang baharu Liga Super menghuni tangga kelima selepas meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri sekali gus menghimpun lima mata.

Sementara itu, juara Liga Super empat kali, Johor Darul Ta'zim yang dikejutkan satu lagi pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur dengan keputusan 1-0 pada aksi ketiga sebelum ini menghuni tangga kedua liga namun hanya ketinggalan satu mata di belakang PKNS FC.

1569 dibaca
Berita Harian X