Selasa, 13 Februari 2018 | 1:23pm
PENYOKONG Negeri Sembilan berharap jurulatihnya dapat mengambil tindakan segera susulan kekalahan memalukan kepada Melaka United, pada Ahad lalu. - Foto BERNAMA

Penyokong Rusa minta Steinebrunner bertindak segera

SEREMBAN: Penyokong Negeri Sembilan (NS) berharap Jorg Steinebrunner dapat mengambil tindakan segera bagi menambah baik strategi dan taktikal pasukan itu, susulan kekalahan memalukan kepada Melaka United (MU), pada Ahad lalu.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan (N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun, berkata walaupun tidak meletakkan sasaran tinggi dalam penampilan semula pasukan itu ke Liga Super musim ini, namun mereka juga tidak rela pasukan kesayangan itu mudah diratah pihak lawan.

Katanya, kali ini skuad Hobin Jang Hobin dilimpahi ramai pemain berbakat selain tenaga import yang berpengalaman, namun masih dilihat gagal menemui kombinasi terbaik yang diharapkan.


JURULATIH Negeri Sembilan, Jorg Peter Steinebrunner diharap dapat berbuat sesuatu untuk memastikan prestasi skuad itu dapat ditingkatkan ke tahap lebih baik. - Foto Mikail Ong

"Kalah dan menang adat pertandingan namun kualiti persembahan dan semangat yang tinggi haruslah ditunjukkan. Tetapi kekalahan besar kepada Melaka sememangnya sukar diterima selepas mereka berjaya mengejutkan Kuala Lumpur dengan kemenangan 2-0.

"Walaupun saingan liga masih di peringkat awal tetapi cabaran selepas ini dijangka lebih sukar termasuk dalam saingan Piala FA.

"Kami berharap barisan kejurulatihan pasukan yang diketuai Steinebrunner dapat berbuat sesuatu untuk memastikan prestasi skuad itu dapat ditingkatkan ke tahap lebih baik dan seterusnya mencapai kemenangan," katanya di sini, hari ini.

Pada aksi di Stadium Hang Jebat, Ahad lalu, NS tewas 0-3 kepada MU.

Selepas menamatkan tiga perlawanan Liga Super, kini skuad Rusa menduduki tangga kesembilan carta dengan mengumpul tiga mata hasil kemenangan ke atas Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zaini berkata NS perlu mengumpul mata tertinggi pada pusingan pertama liga bagi memudahkan laluan menduduki tempat terbaik dalam carta pada penghujung saingan nanti.

Katanya, ini kerana saingan pusingan kedua dijangka lebih berliku dalam memburu mata kemenangan.

Beliau bagaimanapun yakin dan percaya skuad Rusa mampu mempamerkan kebangkitan andai semua pemain terus berusaha keras meningkatkan persembahan dan membentuk kombinasi mantap dalam pasukan itu.

"Kami berharap pemain NS dapat memperagakan aksi lebih meyakinkan pada perlawanan akan datang. Kami akan terus memberikan sokongan padu sama ada ketika beraksi di tempat sendiri mahupun di gelanggang lawan demi ingin melihat kejayaan pasukan ini," katanya.

915 dibaca
Berita Harian X